

MIRI: Sebuah vesel penumpang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri pada kedudukan kira-kira 0.4 batu nautika dari Kuala Sungai Miri selepas didapati melakukan kesalahan sama di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1953.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad, berkata vesel berkenaan sebelum ini pernah disabitkan kesalahan sama dan ditahan dalam beberapa operasi terdahulu termasuk Op Permai 01/2019, Op Tiris 3.0 Dan Op Pelantar Merah 3/2023.
“Nakhoda berusia 55 tahun dan seorang kru berumur 43 tahun bersama vesel telah diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Miri untuk siasatan lanjut.
“Vesel terbabit diperiksa sekitar 12.20 tengah hari semalam dan hasil semakan mendapati ia beroperasi tanpa keanggotaan kru yang mencukupi serta membawa kru melebihi jumlah dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Kaedah 12 (Boat Rules 1953) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Jika sabit kesalahan, pemilik dan nakhoda boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 serta kompaun RM500 mengikut Seksyen 484 ordinan sama.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah maritim atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-649111 bagi tindakan segera.
Oleh Adum Liu