
SUZUKA: Juara dunia Max Verstappen mencipta kejutan apabila meraih petak hadapan untuk pasukan Red Bull dalam sesi kelayakan Grand Prix Formula Satu (F1) Jepun yang dramatik, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Verstappen mencatat masa rekod litar satu minit 26.995 saat untuk menewaskan dua pemandu McLaren, Lando Norris dan Oscar Piastri, masing-masing dengan kelebihan 0.014 dan 0.044 saat, sekali gus meraih petak hadapan ke-41 dalam kariernya.
McLaren sebelum ini memenangi dua perlumbaan pertama musim ini menerusi Norris dan Piastri, selain mendominasi ketiga-tiga sesi latihan di Litar Suzuka.
Walaupun McLaren dianggap lebih kuat dalam perlumbaan jarak penuh berbanding Red Bull, ramalan hujan pada Ahad mungkin memihak kepada Verstappen.
Yuki Tsunoda yang membuat penampilan sulung bersama Red Bull selepas dinaikkan daripada pasukan sekutunya, Visa RB, sekadar menamatkan sesi kelayakan Q2 di tempat ke-15, di belakang Liam Lawson dari Visa RB yang mencatat masa lebih pantas di tempat ke-14.
Sesi Q2 turut terganggu akibat kebakaran rumput di tepi litar yang berpunca daripada percikan api daripada bahagian bawah kereta. Insiden sama turut menyebabkan sesi latihan ketiga dihentikan dua kali lebih awal pada hari sama dan turut berlaku pada Jumaat. – Bernama