KUCHING: Virus SARS-CoV-2 iaitu varian Delta kini dikesan di 10 bahagian di Sarawak dan sebanyak 178 kes varian Delta baharu dikesan sekaligus merupakan kadar pengesanan varian Delta setinggi 83 peratus.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dato’ Dr Mohamed Sapian Mohamed menerusi satu kenyataan memberitahu data tersebut merupakan laporan yang dikemukakan oleh Institute of Health and Community Medicine (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), baru-baru ini.
“Kadar pengesanan varian Delta setinggi 99 peratus telah dilaporkan di Bahagian Kuching.
“Kehadiran virus Delta ini yang mempunyai kebolehjangkitan yang tinggi iaitu lima sehingga lapan kali lebih tinggi berbanding dengan varian SARS-CoV lain menjadikannya faktor utama keberjangkitan kes yang tinggi di Sarawak, khususnya di Zon Selatan.
“Varian Delta berpotensi untuk merebak dengan cepat terutama jika individu tidak memakai pelitup muka, tidak mematuhi penjarakan fizikal dan tidak mengamalkan kebersihan diri,” maklumnya.
Tambahnya, lebih kurang 30 peratus daripada kes harian merupakan golongan di bawah umur 18 tahun yang masih belum layak menerima vaksin.
“Daripada jumlah kes baharu yang dikesan pada bulan Ogos 2021, sebanyak 99 peratus kes berada pada tahap klinikal kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (mempunyai gejala yang ringan) semasa dikesan positif.
“Walau bagaimanapun, kadar penggunaan katil bagi kes rawatan kritikal di seluruh Sarawak menunjukkan peningkatan pada bulan Ogos 2021 tetapi ia masih pada tahap di mana pihak hospital masih berupaya untuk menguruskannya,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu enam (6) buah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) awam dijangka akan beroperasi semula manakala empat (4) buah PKRC awam yang baharu akan memulakan operasi sekiranya kes semakin meningkat.
“Sekiranya kes masih banyak dan meningkat setiap hari, penggunaan sumber tenaga dan perkhidmatan kesihatan mungkin akan lumpuh.
“Ini akan mengakibatkan tindakantindakan intervensi seperti pengasingan pesakit dan pengesanan kontak akan terjejas teruk.
“Apabila bertambahnya bilangan kes harian, maka, kontak rapat yang terdedah dan yang perlu disaring akan turut bertambah. Perkara ini akan membebankan makmal dalam membuat ujian saringan dan seterusnya memanjangkan tempoh masa diperlukan untuk memperolehi keputusan ujian (‘turn-around-time’).
“Seterusnya, keadaan ini akan mengakibatkan tindakan kawalan awal sukar untuk dilaksanakan disebabkan keputusan yang lewat diterima,” tambahnya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA