Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • VAR ‘meragut kegembiraan’ bola sepak, kata Dalic selepas Croatia tewas
  • SUKAN

VAR ‘meragut kegembiraan’ bola sepak, kata Dalic selepas Croatia tewas

Utusan Sarawak 3 hours ago
JURULATIH Croatia, Zlatko Dalic, dan Luka Modric #10 memberikan reaksi selepas kekalahan 1-2 kepada Portugal dalam perlawanan pusingan 32 terakhir Piala Dunia FIFA 2026 antara Portugal dan Croatia di Stadium Toronto, Toronto, Ontario, pada 2 Julai 2026. Foto AFP

TORONTO, Kanada: Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic, menyifatkan penggunaan Sistem Bantuan Pengadil Video (VAR) telah “meragut kegembiraan bola sepak” selepas gol penyamaan pasukannya pada masa kecederaan dibatalkan ketika Croatia tewas 2-1 kepada Portugal dalam aksi Piala Dunia, pada perlawanan 7.00 pagi tadi (waktu Malaysia).

Pemain Croatia menyangka mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Josko Gvardiol pada minit ke-13 masa kecederaan di Toronto.

Bagaimanapun, VAR membatalkan jaringan tersebut selepas cip yang dipasang pada bola perlawanan mengesan sentuhan kecil bola pada penyerang Croatia, Igor Matanovic, ketika Mario Pasalic berada dalam kedudukan ofsaid dalam pembentukan gerakan yang membawa kepada gol tersebut.

Ketika ditanya sama ada teknologi dan keputusan VAR telah melampaui batas dalam bola sepak, Dalic secara umum bersetuju.

JURULATIH Croatia, Zlatko Dalic, memerhati aksi perlawanan pusingan 32 terakhir Piala Dunia FIFA 2026 antara Portugal dan Croatia di Stadium Toronto, Toronto, Ontario, pada 2 Julai 2026. Foto AFP

“Anda dapat melihat sendiri bagaimana emosi benar-benar terpadam, dan keputusan seperti ini membuatkan anda hilang semangat serta meragut kegembiraan bola sepak,” kata Dalic pada sidang media menerusi jurubahasa FIFA.

“Saya tidak mengatakan VAR tidak membantu dalam keadaan tertentu, tetapi ia mematikan emosi, memadamkan segala-galanya yang anda rasakan, dan bukan mudah untuk menerima semua ini.”

Teknologi bola bersambung (connected ball) yang digunakan untuk membatalkan jaringan Gvardiol itu pernah digunakan sebelum ini dalam kejohanan ini, ketika perlawanan peringkat kumpulan antara Sweden dan Tunisia bulan lalu.

Dalam perlawanan tersebut, gol Mattias Svanberg pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid, namun keputusan itu kemudian dibatalkan oleh VAR selepas teknologi mengesan bola terlebih dahulu terkena rakan sepasukan, Alexander Isak, sekali gus menjadikan Svanberg berada dalam kedudukan sah.

Sementara itu, jurulatih Portugal, Roberto Martinez, menegaskan tiada sebarang pertikaian mengenai keputusan membatalkan jaringan Croatia.

“Penjelasannya sangat jelas. Bola kini dilengkapi cip dan sebab itulah VAR campur tangan,” katanya.

“Tiada unsur subjektif. Cip pada bola menunjukkan terdapat sentuhan daripada Matanovic dan ketika itu Pasalic berada dalam kedudukan ofsaid.

“Memang menyedihkan apabila salah satu pasukan terpaksa tewas hari ini, tetapi tiada keputusan yang salah atau malang. Keputusan itu jelas dan teknologi telah membantu. Kami bernasib baik dalam situasi itu, namun ia merupakan keputusan yang tepat,” katanya. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: “Kebetulan dalam kehidupan,” kata Ronaldo selepas Portugal beri penghormatan kepada Jota
Next: “Menginspirasikan jutaan peminat”, Modric dipuji ketika karier Piala Dunia hampir berakhir

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.