NEW YORK: Pfizer sudah mula menghasilkan versi vaksin COVID-19 yang disasarkan untuk melawan varian baru Omicron.
Ini sekiranya vaksin sedia ada tidak berkesan melawan varian terkini itu, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat Amerika Syarikat itu, Encik Albert Bourla pada Isnin (29 Nov).
Encik Bourla turut memberitahu CNBC bahawa syarikatnya pada Jumaat sudah mula menjalankan ujian vaksin sedia ada terhadap varian Omicron yang pertama kali dilaporkan di Afrika Selatan sehingga mencetuskan kebimbangan berlaku gelombang jangkitan baru di peringkat global.
Ujian-ujian itu mungkin menunjukkan bahawa vaksin-vaksin sedia ada “kurang melindungi” sekali gus bermakna “kita perlu menghasilkan vaksin baru,” kata Encik Bourla.
Johnson & Johnson juga menyatakan pada Isnin bahawa ia sedang “berusaha untuk menghasilkan vaksin khusus untuk varian Omicron dan akan meneruskan usahanya.”
Pada Jumaat, Moderna, satu lagi syarikat pembuat vaksin Covid-19 menyatakan ia sedang menghasilkan vaksin penggalak terhadap varian baru itu.
Vaksin sekarang ini “amat berkesan” melawan Delta, menurut Encik Bourla sambil menambah bahawa syarikat-syarikat itu dijangka mampu menghasilkan empat bilion dos vaksin pada 2022.
Dalam pada itu, Encik Bourla berkata beliau “amat yakin” pil antivirus Pfizer baru-baru ini juga berfungsi sebagai rawatan bagi rawatan untuk jangkitan yang disebabkan oleh mutasi, termasuk Omicron.
Dalam kalangan pesakit yang baru terjangkit dan berisiko tinggi yang dirawat dalam tempoh tiga hari selepas mengalami gejala, pil Pfizer terbukti berhasil mengurangkan kemasukan ke hospital atau kematian hampir 90 peratus. – AFP