
Antara penerima anugerah 'Longevity and Iconic Brand Awards' iaitu Teck Kong Trading Sdn Bhd, yang diterima oleh Pengarahnya, Penghulu Dato’ Alex Pui Chow Hin. Anugerah disampaikan oleh Dato Ahmad (tengah). Turut kelihatan Pengurus Besar Utusan Sarawak, Ivy Ngo (kiri) dan Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak, Kadir Dikoh (kanan).
KUCHING: Enam syarikat tempatan yang telah beroperasi lebih 50 tahun menerima pengiktirafan tertinggi menerusi anugerah ‘Longevity and Iconic Brand Awards’ sempena pelancaran buku Sarawak’s Iconic Businesses di sini, malam tadi.
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Senator Dato’ Ahmad Dato’ Sri Ibrahim sebagai penghormatan kepada syarikat-syarikat yang bukan sahaja berjaya kekal relevan dalam industri masing-masing, malah terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri sejak lebih setengah abad lalu.
Majlis itu dianjurkan oleh Utusan Sarawak.
Antara penerima anugerah tersebut ialah Lee Fah Mee Sdn Bhd yang ditubuhkan pada tahun 1955 dan kini berusia 69 tahun, serta Sundrop Fruit Juices Sdn Bhd yang beroperasi sejak 1957.
Turut menerima pengiktirafan ialah Jee Kwong Optical Corporation Sdn Bhd (1967), Ghee Hua Group of Companies dan Wee Hua Boo Trading Sdn Bhd yang kedua-duanya ditubuhkan pada tahun 1968, serta Teck Kong Trading Sdn Bhd yang telah beroperasi sejak 1973.
Selain itu, sembilan syarikat yang beroperasi antara 30 hingga 49 tahun menerima anugerah Impactful Brand Awards, manakala 14 syarikat lagi yang telah beroperasi antara 10 hingga 29 tahun menerima pengiktirafan menerusi kategori Sustainable Innovation Brand.
Buku Sarawak’s Iconic Businesses yang dilancarkan dalam majlis sama turut mendokumentasikan kisah dan pencapaian syarikat-syarikat terpilih sebagai sumber inspirasi kepada generasi usahawan akan datang.
Oleh Amanda L.