
SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoA) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang akademik dan penyelidikan.
Naib Canselor UTS, Prof Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid, menandatangani MoA bagi pihak universiti, manakala UiTM Cawangan Perak diwakili Ketua Pusat, Jabatan Alam Bina & Teknologi, Fakulti Alam Bina, UiTM Cawangan Perak TPr Dr. Kushairi Rashid.
Majlis itu turut disaksikan oleh Dekan Sekolah Alam Bina UTS Assoc. Prof. Sr Dr. Kan Fock Koi.
Khairuddin berkata, MoA itu bertujuan untuk merasmikan pelaksanaan Geran Padanan Penyelidikan antara kedua-dua institusi, sekali gus membuka laluan ke arah kerjasama lebih mendalam dalam bidang akademik, budaya dan penyelidikan jangka panjang.
“Kerjasama ini bukan sekadar penandatanganan atas kertas, tetapi satu simbolik penting ke arah perkongsian pengetahuan dan kepakaran.
“Kita mahu memastikan bahawa penyelidikan yang dijalankan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat dan pembangunan negara,” katanya.
Melalui geran padanan yang dimeterai, para penyelidik dari kedua-dua universiti akan berpeluang menjalankan projek penyelidikan secara kolaboratif, berkongsi sumber dan kepakaran serta menjana impak yang lebih besar dalam bidang berkaitan alam bina, teknologi dan inovasi.
Dengan termeterainya MoA ini, UTS dan UiTM mengorak langkah baharu dalam merintis kerjasama strategik yang berteraskan aspirasi pembangunan lestari dan pendidikan berkualiti, selari dengan agenda pendidikan tinggi negara.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik) UTS Prof. Ir. Ts. Dr. Mohammad Shahril Osman serta delegasi dari UiTM Cawangan Perak.