SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) akan menambah bilangan kakitangan dari segi akademik dan bukan akademik berikutan peningkatan jumlah pelajar di universiti itu.
Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid berkata, pihaknya akan menjalankan temuduga dalam minggu ini dan minggu depan bagi tujuan tersebut.
“Bilangan kakitangan yang diambil adalah mengikut keperluan, contohnya, jumlah pelajar dalam program pengajian asasi meningkat secara mendadak, jadi kita akan mengambil tiga atau empat pensyarah dan seorang atau dua tenaga kerja sokongan.
“Untuk program lain bergantung kepada keperluan masing-masing.
“Secara puratanya, setiap program mungkin memerlukan tiga atau empat lagi kakitangan baharu untuk menampung bilangan pelajar yang telah meningkat.
“Secara keseluruhannya, seramai 20 kakitangan baharu akan diambil,” jelasnya ketika ditemui pemberita pada Program Raya dan Pra Gawai di kampus UTS, hari ini.
Mengulas lanjut tentang penambahan jumlah pelajar, Dr Khairuddin memberitahu, kemasukan tahun lepas (2022) sahaja, UTS telah mengambil lebih kurang 1,900 pelajar baharu manakala tahun sebelum itu (2021) UTS sekitar 600 sahaja.
“Peningkatannya tiga kali ganda tahun ini selepas keputusan SPM keluar kita jangkakan pelajar-pelajar baharu akan masuk lebih kurang dalam paling minimum 500 orang.
“Itu kemasukan untuk program asasi sahaja, jadi kita ada kemasukan lagi dalam bulan September nanti,” ujarnya sambil mendedahkan jumlah pelajar UTS sekarang ialah hampir 3,000 orang.
Selain itu, katanya, pihaknya juga merancang untuk menambah bilangan tempat untuk asrama pelajar.
“Kita telah majukan perancangan ini kepada lembaga pengarah universiti, tetapi ini akan mengambil masa sikitlah namun ia dalam perancangan,” ujar beliau.
Oleh AKUN GIMAN