
SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) kini mempunyai dua unit bas mini China Auto Manufacturers (CAM) Co-Star berkapasiti 28 tempat duduk bagi memudahkan pergerakan pelajarnya sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan warga kampus itu.
Penyerahan kenderaan tersebut berlangsung di Huong Seng Motor Trading Sdn Bhd hari ini disaksikan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee.
Beliau berkata langkah kerajaan negeri membekalkan bas mini berkenaan amat signifikan memandangkan UTS kini mempunyai lebih 4,000 pelajar yang majoritinya menetap berdekatan kampus dan memerlukan pengangkutan yang efisien.
“Pengangkutan awam di Sibu masih terhad dan jika menggunakan perkhidmatan e-hailing seperti Grab, ia boleh membebankan pelajar. Kemudahan bas ini, mereka dapat ke kampus tepat pada masanya untuk kuliah atau sesi pembelajaran sekali gus memudahkan urusan harian,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Dr Annuar, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata faktor keselamatan turut menjadi pertimbangan utama dalam penyediaan kenderaan tersebut terutamanya bagi pelajar dari luar kawasan.
“UTS komited menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kami amat menghargai sokongan kerajaan negeri dalam membekalkan dua kenderaan ini,” katanya.
Menurut beliau, universiti tersebut sebelum ini sudah mempunyai perkhidmatan bas besar namun ia tidak dapat melalui jalan-jalan kecil di kawasan penempatan pelajar seperti di Ulu Sungai Merah.
“Wujudnya bas mini, ia dapat mengurangkan masalah pelajar untuk ke kampus khususnya pada waktu malam.
“Saya berharap pihak universiti dapat menyusun jadual perjalanan ulang-alik secara kerap dan teratur agar kemudahan ini dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Annuar berkata usaha penyediaan pengangkutan itu selaras dengan matlamat menjadikan UTS pilihan utama pelajar bukan sahaja kerana kualiti pendidikan tinggi yang ditawarkan tetapi juga kerana keselamatan dan kemudahan menyeluruh yang disediakan.
“Setiap ibu bapa pasti ingin tahu sama ada universiti yang mereka pilih untuk anak-anak adalah selamat dan lengkap dengan kemudahan.
“Penyediaan bas mini ini adalah sebahagian daripada usaha melengkapkan UTS dengan kemudahan menyeluruh agar lebih ramai pelajar memilih untuk belajar di sini,” katanya.
Beliau berkata dalam tempoh beberapa tahun akan datang, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan pengurusan universiti untuk memastikan keutamaan itu terus diberi perhatian termasuk melalui pembinaan asrama baharu serta penyediaan kafeteria yang lebih selesa dan lengkap.
“Kita tidak mahu pelajar terbeban mencari tempat tinggal atau tempat makan sehingga mengganggu tumpuan mereka terhadap pelajaran,” katanya.
Oleh Tarani Lanting