
SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) memainkan peranan penting sebagai pemangkin pembangunan bandar dan sosioekonomi di Sibu.
Pengerusi UTS, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata universiti itu telah menunjukkan pertumbuhan pesat daripada kolej universiti yang hanya menempatkan kira-kira 1,100 pelajar kepada lebih 4,000 pelajar ketika ini.
Menurutnya, jumlah tersebut dijangka akan mencecah kapasiti maksimum 5,000 pelajar menjelang hujung tahun ini.
“Semasa saya mula dilantik sebagai pengerusi, wujud persepsi bahawa UTS bukan untuk golongan berpendapatan rendah. Perkara ini mendorong kami mengubah naratif dan memperluas akses kepada pendidikan tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan UTS di hotel terkemuka malam tadi.
Katanya, bagi memastikan kebolehcapaian yang lebih inklusif, UTS memperkenalkan inisiatif dermasiswa sebanyak 50 peratus untuk semua pelajar Sarawak.
“Langkah itu terbukti berkesan menarik lebih ramai pelajar, terutamanya dari luar bandar dan golongan B40.
“Dalam tempoh beberapa tahun, peratusan pelajar dari keluarga B40 meningkat daripada hanya lapan peratus kepada hampir 40 peratus dan ini satu pencapaian besar,” katanya.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat itu turut menggariskan visinya menjadikan UTS sebagai pemangkin pertumbuhan Sibu, sebagaimana Universiti Sunway yang mengubah landskap ekonomi dan sosial Subang Jaya.
“Bayangkan, jika kita mempunyai 10,000 pelajar di UTS, mereka akan makan tengah hari, makan malam, menyewa rumah dan mengunjungi bandar setiap hujung minggu. Ini akan menjana pelbagai aktiviti ekonomi,” ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu berkata, kawasan seperti Ulu Sungai Merah, Teku dan Sungai Bidut juga berpotensi besar untuk berkembang seiring dengan pertumbuhan UTS, memandangkan banyak projek perumahan baharu sedang dibangunkan di kawasan tersebut.
“Kita sudah ada sekolah antarabangsa dan kolej di kawasan sekitar. Ini akan membentuk satu ekosistem pendidikan dan pembangunan yang menyeluruh,” kata beliau.
Selain menumpukan kepada pelajar tempatan, katanya lagi, UTS kini turut berusaha menarik minat pelajar dari Semenanjung Malaysia dan luar negara bagi memperkukuh kedudukannya sebagai universiti bertaraf antarabangsa.
“Ini adalah pencapaian terbesar sejak saya dilantik sebagai pengerusi UTS pada 2021 adalah peningkatan ketara jumlah pelajar serta kejayaan mendapatkan dermasiswa 50 peratus daripada kerajaan negeri untuk pelajar Sarawak.
“Inilah dua perkara yang paling membanggakan saya, pertambahan jumlah pelajar dan bantuan kewangan yang amat bermakna kepada keluarga kurang berkemampuan,” ujarnya lagi.
Turut hadir ialah Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr Khairuddin Abd Hamid, Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili, Ketua Bomba Zon 4 Sibu, Andy Alie, Timbalan Naib Canselor, Profesor Ir Ts Dr Mohd Shahril Osman, Registrar UTS, Jimmy De Rozario, Bursar UTS, Dr Rabuan Mantine serta yang lain.
Oleh Akun Giman