
SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti ASA Bangladesh (ASAUB) hari ini, sekali gus memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa dalam bidang pendidikan tinggi.
Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid berkata, kerjasama strategik itu merangkumi bidang penyelidikan bersama, penyeliaan akademik, pertukaran pelajar dan pensyarah serta pembangunan program akademik dan inovasi.
Menurut beliau, langkah tersebut selaras dengan aspirasi Sarawak untuk memperluas pengantarabangsaan pendidikan serta memperkukuh kedudukan negeri sebagai destinasi pendidikan pilihan di rantau ini.
“Melalui MoU ini, kita akan meneroka peluang penyelidikan bersama dan memperluas pertukaran pelajar khususnya bagi meningkatkan kepakaran global serta pendedahan antarabangsa mereka,” katanya ketika berucap pada majlis pemeteraian berkenaan.
Beliau berkata, UTS yang kini memasuki tahun ke-13 penubuhannya terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan apabila jumlah pelajar meningkat daripada kira-kira 1,000 orang pada awal operasi kepada 6,500 pelajar ketika ini.
Tambahnya, jumlah pelajar prasiswazah dan pascasiswazah yang hampir seimbang mencerminkan komitmen universiti dalam memperkasa agenda penyelidikan.
Dalam pada itu, beliau berkata UTS turut memberi penekanan terhadap peningkatan kualiti tenaga akademik termasuk menambah bilangan profesor dan profesor madya serta merekrut pakar dari luar negara.
UTS juga menyasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar prasiswazah terdiri daripada pelajar antarabangsa menjelang 2030, selaras dengan saranan Kementerian Pendidikan Tinggi.
Kerjasama dengan ASAUB dilihat sebagai antara langkah penting ke arah mencapai sasaran tersebut, selain mengukuhkan hubungan pendidikan antara Malaysia dan Bangladesh.
MoU berkenaan dijangka membuka lebih banyak peluang kolaborasi yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi serta menyumbang kepada pembangunan modal insan berdaya saing di peringkat global.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Naib Canselor ASAUB, Profesor Dr. S. M Rezaul Karim.
Oleh Tarani Lanting