SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) bagi menubuhkan pusat pembelajaran dan pengajaran bahasa Inggeris di kampusnya.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, inisiatif ini bertujuan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi utama.
“Kami mahu mencipta suasana di mana semua pelajar bercakap dalam bahasa Inggeris.
“Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar tempatan, tetapi juga pelajar antarabangsa yang mungkin kurang mahir dalam bahasa Inggeris.
“Pusat ini akan membantu mereka menguasai bahasa tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas berucap pada majlis Sumpah Ikrar Mahasiswa Sarjana Muda ambilan September 2024 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini, hari ini.
Pusat ini juga dijangka memainkan peranan penting dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat umum.
Dr Annuar menambah bahawa syarikat-syarikat boleh menghantar kakitangan mereka untuk mengikuti kursus intensif di pusat ini, sementara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh menghantar guru untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam menguasai Bahasa Inggeris.
“Selain dari MEITD, kami juga akan bekerjasama dengan Pusat Latihan Bahasa Inggeris (ELTC) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk merealisasikan projek ini.
“UTS berhasrat menjadi antara kampus yang menggunakan bahasa Inggeris secara meluas sebagai bahasa utama,” tambahnya lagi.
Menurutnya yang juga Pengerusi UTS, sebuah kertas cadangan sedang dalam proses penyediaan untuk menubuhkan pusat ini, yang diharapkan akan memberi impak besar dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di Sarawak.
Oleh Tarani Lanting