Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid (tujuh kiri) merakam gambar kenangan bersama semua yang terlibat dalam penerbitan buku terbabit.
Universiti Teknologi Sarawak (UTS) melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menerbitkan buku bertajuk ‘The Architecture of Traditional Dwellings and Masjid in The Malay Nations’.
Buku yang dihasilkan dengan kerjasama Universitas Tanjungpura (UNTAN) ini telah dilancarkan dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Kuliah, UTS baru-baru ini.
Ketua Unit Penerbitan UTS Profesor Madya Dr Mohd Zainal Munshid Harun menyifatkan buku ‘The Architecture of Traditional Dwellings and Masjid in The Malay Nations’ ini sebagai satu buku yang sangat menarik.
Katanya, buku ini mengandungi maklumat yang berguna sebagai rujukan kepada bidang seni bina, reka bentuk bandar, dan pemuliharaan.
“Ia memfokuskan kepada gaya seni bina dan ciri-ciri tempatan kediaman tradisional dan masjid, pembinaan orang asli, pemuliharaan dan amalan serta faktor yang membawa kepada evolusi seni bina.
“Buku ini juga mengetengahkan isu dan cabaran dalam mengekalkan warisan kediaman tradisional dan masjid di setiap kawasan setempat,” katanya.
Beliau juga berkata walaupun Penerbit UTS baru ditubuhkan, penerbit itu telah berjaya beberapa buah buku seperti Kajian Kes Ringkas dalam Perniagaan dan Pengurusan, Biodiversiti UCTS, Pembangunan dan Kelestarian UTS, Masjid Al-Qadim Sibu, dan Arkib 2017, 2019, dan 2020.
Menyentuh mengenai sejarah penerbitan buku ini pula, Naib Canselor UTS Profesor Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid berkata, buku itu diterbitkan oleh Penerbit UTS dan hasil kerjasama antara penyelidik dan pengarang kedua-dua universiti (UTS dan UNTAN).
Katanya, kerjasama dengan UNTAN bermula pada 2018 di Kuching iaitu semasa penganjuran Persidangan InHERIT 2018 (Persidangan Antarabangsa Warisan dan Pemuliharaan Budaya).
“UNTAN merupakan salah sebuah institut yang mengambil bahagian dalam persidangan tersebut.
“Dari persidangan itu, kami telah memutuskan untuk bekerjasama lebih erat, dan kemudian persidangan kedua diadakan walaupun secara dalam talian.
“Ia telah menjadi satu persidangan antarabangsa dwi-tahunan yang dianjurkan bersama oleh UTS dan UNTAN.
“Sejak saat itu, terdapat banyak perbincangan, bengkel antara dua universiti ini,” ujarnya.
Menurut Khairuddin, Penerbit UTS ditubuhkan untuk mempromosikan penerbitan akademik di kalangan kakitangan, penyelidik, sama ada secara individu atau bersama oleh rakan kongsi mereka.
Beliau berkata penerbitan adalah sumbangan penting kepada dunia akademik dan masyarakat.
“Melalui penerbitan, kita boleh berkongsi pelbagai bentuk pengetahuan dan pengalaman kepada orang ramai,” katanya.
Sehubungan itu, Khairuddin merakamkan ucapan terima kasih kepada UNTAN yang diwakili oleh Rektor UNTAN Prof Dr Garuda Wiko atas kerjasama dan sokongan padu ini.
“Jadi, saya berharap dapat meneruskan kerjasama daripada UNTAN untuk memanfaatkan lebih banyak kerjasama dengan Kalimantan.
“Dengan perpindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara di Kalimantan, agak strategik bagi UTS untuk mempunyai lebih banyak peluang untuk bekerjasama dan juga untuk mengembangkan kerjasama dengan rakan-rakan di Kalimantan.
“Oleh itu, saya ingin memohon daripada Dr Garuda untuk menggunakan kerjasama kami sebagai platform untuk terus bekerjasama dengan pihak lain di Kalimantan,” katanya.
Sementara itu, Dr Garuda dalam ucapannya melalui dalam talian berkata, rumah tradisional merupakan seni bina penting yang selaras dengan budaya, kepercayaan, persekitaran dan gaya hidup penduduk.
“Evolusi seni bina tradisional Melayu berkait rapat dengan kawasan di mana ia berkembang.
“Kerja seni bina berkembang seiring dengan pertumbuhan sesebuah negara, berdasarkan komuniti etnik yang menyokongnya.
“Oleh itu, saya percaya buku ini akan menyumbang kepada pengayaan kesusasteraan seni bina tradisional Melayu,” katanya.
Oleh NURZILLA MOHAMAD