
SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) berjaya mencapai sasaran 5,000 pelajar, iaitu dua tahun lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan kerajaan negeri.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid berkata, jumlah keseluruhan pelajar aktif UTS kini seramai 5,003 orang, berbanding hanya 1,368 pelajar pada 2021 ketika pandemik COVID-19.
“Kerajaan negeri menetapkan sasaran 5,000 pelajar pada 2027, namun kita berjaya mencapainya lebih awal.
“Jumlah pelajar meningkat kepada 2,229 pada 2022, 2,794 pada 2023, 4,464 pada 2024, dan tahun ini mencecah 5,003,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sumpah Ikrar Mahasiswa Sarjana Muda Ambilan September 2025 di sini, hari ini.
Beliau berkata, rekod pertambahan itu menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda dalam tempoh tiga tahun selepas pandemik, sekali gus mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap kualiti pendidikan yang ditawarkan oleh UTS.
Bagi pengambilan September ini, UTS menerima 611 pelajar baharu yang terdiri daripada 588 pelajar prasiswazah dan 23 pelajar pascasiswazah (sarjana dan PhD).
“Daripada jumlah itu, 590 pelajar berasal dari Sarawak, 13 dari negeri lain termasuk Labuan, Johor, Sabah dan Selangor, manakala lapan pelajar antarabangsa dari China, Pakistan, Belanda dan Indonesia,” katanya.
Menurut beliau, bagi tahun ini sahaja setakat September, UTS menerima 1,747 pelajar baharu dan jumlah itu dijangka mencecah 2,000 orang selepas pengambilan November.
Namun katanya, pencapaian itu bukan sekadar mengejar angka, sebaliknya universiti lebih menitikberatkan aspek kebajikan, keselamatan serta kualiti pendidikan.
“Semua program UTS diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pendidikan Tinggi, selain turut mendapat pengiktirafan antarabangsa,” tambah beliau.
Oleh Tarani Lanting