
SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Bertam View Sdn Bhd (Drone Kaki Sarawak) bagi memperkukuh kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi dron, khususnya dalam bidang pembersihan.
Naib Canselor UTS, Prof Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid menandatangani MoU tersebut bagi pihak universiti manakala Bertam View diwakili Pengarah Urusannya, Alvin Chai.
Majlis itu turut disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor UTS, Profesor Dr Mohammad Shahril Osman serta Pengurus Bertam View, Dalvin Chung Piaw Ching.
Khairuddin berkata, kerjasama tersebut sejajar dengan komitmen UTS dalam memperkasakan bidang teknologi, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Matlamat kami adalah untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran teknikal yang sejajar dengan visi Sarawak dalam transformasi digital dan perindustrian.
“Kerjasama ini bukan sekadar berkaitan pendidikan, tetapi juga sebagai peneraju dalam penyelidikan dan inovasi teknologi,” katanya.
Menurutnya, UTS bukan pemain baharu dalam teknologi dron, malah telah menerajui penyelidikan dalam bidang itu sejak lebih sedekad menerusi Pusat Penyelidikan dan Aplikasi Dron universiti berkenaan.
Pada peringkat awal, katanya pusat itu ditubuhkan bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai teknologi dron terkini selain menjalankan penyelidikan gunaan, khususnya dalam sektor pertanian.
“Kami bekerjasama rapat dengan rakan kongsi di Taiwan dan pasukan penyelidik kami yang diketuai Dr Alan turut menerajui inovasi dalam sisyem pengurusan trafik dron.
“Usaha berterusan ini memastikan pelajar UTS didedahkan dengan teknologi terkini agar mereka lebih bersedia menghadapi dunia pekerjaan,” ujarnya.
Beliau turut menggesa pihak industri supaya memberi peluang kepada pelajar dan pensyarah UTS mendapatkan pendedahan secara langsung melalui latihan industri serta penempatan di syarikat berkaitan.
Sementara itu, Alvin berkata memorandum tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan dan penambahbaikan teknologi dron pembersihan fasad yang menawarkan penyelesaian inovatif bagi penyelenggaraan bangunan tinggi dan struktur kompleks.
“Dron pembersihan fasad ialah Kenderaan Udara Tanpa Pemandu (UAV) yang dilengkapi sistem penyemburan untuk membersihkan bahagian luar bangunan secara cekap dan selamat.
“Secara tradisional, pembersihan fasad adalah tugas intensif tenaga kerja dan berisiko tinggi kerana memerlukan pekerja beroperasi di tempat tinggi menggunakan perancah atau gondola,” katanya.
Beliau menambah bahawa teknologi dron dapat mengautomasi proses tersebut, meningkatkan keselamatan serta kecekapan, selain mengurangkan penggunaan air dan bahan pencuci.
“Melalui kerjasama ini, kami akan menyumbang kepakaran teknikal dalam teknologi dron manakala UTS akan mengetuai penyelidikan bagi mengoptimumkan parameter penyemburan, agen pembersih dan dos yang digunakan.
“Usaha ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan dron pembersihan fasad, tetapi juga menetapkan standard baharu dalam industri penyelenggaraan bangunan di Sarawak dan peringkat global,” katanya.
Oleh Tarani Lanting