PERTUKARAN MEMORANDUM… Naib Canselor UTS Profesor Datuk Dr.Khairuddin Abdul Hamid bertukar memorandum persefahaman (MoU) dengan Presiden Chang Jung Christian University (CJCU) Dr. Lee Yung Lung pada Julai 2019, bagi meningkatkan lagi program akademik keduadua belah pihak.
Penaiktarafan status Universiti Teknologi Sarawak (UTS) kepada universiti penuh melambangkan satu kejayaan besar bagi Kerajaan Sarawak dalam usaha meletakkan sistem pendidikan negeri setara dengan piawaian global.
UTS yang dahulunya dikenali sebagai Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) telah dianugerahkan status universiti penuh oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 8 November 2021.
Majlis pelancaran UTS telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 10 November 2021.
Sempena majlis pelancaran terbabit, kerajaan negeri telah memperkenalkan beberapa insentif kepada para pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di UTS.
Insentif ini ialah Biasiswa Yayasan UTS, Biasiswa Prasiswazah dan Pascasiswazah UTS serta Skim Biasiswa UTS, selain bantuan kewangan daripada Yayasan Sarawak.
Sementara itu, penaiktarafan status kepada universiti penuh diperoleh setelah universiti memenuhi beberapa kriteria seperti dari segi segi prasarana, kualiti program pendidikan, kerja penyelidikan, sumbangan penuntut dan pensyarah terhadap dunia keilmuan, kekuatan tenaga kerja dan kekuatan kewangan yang disumbang sepenuhnya Kerajaan Sarawak.
Penaiktarafan UTS sebagai universiti penuh ini juga melambangkan kejayaan amat besar dari segi fizikal, moral dan dari segi identiti bahawa inilah universiti penuh pertama dapat ditubuhkan Kerajaan Sarawak.
Universiti yang berasakan teknologi baharu ini mula ditubuhkan pada 1 April 2013 dan ia merupakan satu-satunya universiti yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.
Terletak di Bandar Sibu, UTS yang menjadi kebanggaan rakyat di negeri ini menawarkan pelbagai program akademik profesional dan berkaitan industri yang relevan dengan keperluan unik Sarawak khususnya dan Malaysia amnya.
UTS merupakan institusi pengajian tinggi yang memberi tumpuan kepada pembangunan dan pengeluaran sumber manusia teknikal bagi Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UTS Dr. Annuar Rapa’ee berkata, UTS akan menjadi salah sebuah universiti terbaik dengan menyediakan pendidikan berkualiti kepada rakyat Sarawak.
Katanya, beliau akan berusaha untuk meningkatkan tahap universiti milik Kerajaan Negeri tersebut dan menjadikannya suatu kebanggaan buat rakyat Sarawak, khususnya penduduk Sibu.
Sehubungan itu, beliau membayangkan lebih banyak kerjasama akan dijalinkan dengan universiti terkemuka China, seperti Universiti Tsinghua, antara lainnya.
“Di China, Universiti Tsinghua adalah setara dengan Universiti Oxford atau Universiti Cambridge di England. Kami berharap dapat menjalin lebih banyak kerjasama dengan Universiti Tsinghua.
“UTS juga akan menjalankan lebih banyak penyelidikan dan pembangunan dalam usaha untuk membawa universiti milik kerajaan ini ke tahap pencapaian yang lebih tinggi,” katanya.
Dr Annuar yang juga Menteri Muda Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat berkata, UTS akan terus meningkatkan hubungan tempatan dan antarabangsa untuk pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan dan penglibatan komuniti.
Katanya, UTS telah menerbitkan lebih 354 penerbitan, termasuk jurnal dan buku untuk tahun 2019.
“UTS mempunyai dua jurnal dalam talian di bawah pengurusan penerbitan UTS iaitu Borneo Journal for Science and Technology (BJOST) dan Borneo Journal for Social Science and Humanities (BJSSH),” ujarnya.
Dr. Annuar memberitahu, dalam pengajaran dan pembelajaran, 80 peratus program yang telah ditawarkan oleh UTS telah dianugerahkan akreditasi penuh oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
“UTS telah menghasilkan 2,200 graduan sejak penubuhannya dari tahun 2013 dengan mencatat purata kadar kebolehpasaran graduan yang tertinggi di Malaysia sebanyak 99.1 peratus,” jelasnya.
Sementara itu, UTS menyasarkan pengambilan 4,000 penuntut dalam tempoh dua tahun, memandangkan ketika ini hanya terdapat kira-kira 1,000 lebih penuntut sedang mengikuti pengajian.
Campuran mahasiswa dari luar negeri Sarawak serta luar negara amat digalakkan supaya wujud pembudayaan dan pengantarabangsaan walaupun UTS 100 peratus universiti milik Kerajaan Sarawak.
Oleh NURZILLA MOHAMAD