
SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) memperkukuh peranannya dalam kerjasama saintifik dan teknologi negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dengan menganjurkan Bengkel Antarabangsa COMSTECH-UTS mengenai Tenaga Boleh Diperbaharui di sini hari ini.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Khairuddin Abdul Hamid berkata, bengkel tersebut merupakan hasil penyertaan UTS dalam Forum Rektor COMSTECH dan Mesyuarat Tahunan Konsortium Kecemerlangan di Pakistan awal tahun ini.
Katanya, lawatan itu turut membuka peluang kepada UTS menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MoU) serta perjanjian kerjasama dengan universiti dari seluruh rantau OIC.
“Bengkel antarabangsa ini lahir daripada komitmen untuk memperkukuh kerjasama saintifik dan teknologi, sekali gus membuka peluang baharu dalam bidang akademik, termasuk di bawah Program Sarjana Cemerlang COMSTECH, program mobiliti pelajar, penyelidikan dan penerbitan bersama,” jelasnya pada majlis perasmian bengkel tersebut.
Menurut beliau, UTS juga bakal menerima 10 penyelidik dari negara anggota OIC bagi tempoh 2025 hingga 2026 di bawah program pertukaran COMSTECH, dengan kumpulan pertama seramai enam orang dijangka tiba tidak lama lagi.
Selain itu, syarikat terbitan UTS, FORMETA PLT turut membawa nama Sarawak dan Malaysia ke peringkat antarabangsa dengan penyertaan pada pameran keusahawanan SEE Pakistan 2025.
“Pelancaran bengkel ini menjadi langkah penting dalam membentuk kerjasama mampan, bukan sahaja melalui pertukaran ilmu tetapi juga tindakan konkrit menangani cabaran bersama dalam teknologi lestari, tenaga, alam sekitar dan pembangunan,” tegasnya.
Bengkel tiga hari bertemakan ‘Affordable and Clean Energy for All (CURE-ALL)’ itu menghimpunkan pakar dari Brunei, Bangladesh, Indonesia, Pakistan dan Malaysia termasuk Sabah serta Sarawak.
Antara fokus perbincangan ialah peralihan tenaga global, tenaga boleh diperbaharui di negara anggota OIC, sistem tenaga komuniti, teknologi solar fotovoltaik serta integrasi tenaga.
Peserta turut dijadual melawat Stesen Janakuasa Hidroelektrik Batang Ai yang dilengkapi ladang solar terapung berkapasiti 50MW, hasil kerjasama dengan Sarawak Energy Berhad.
Bengkel tersebut turut disertai Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni yang menyampaikan ucaptama secara maya.
Turut hadir Penyelaras Agung OIC-COMSTECH, Prof. Dr. Mohammad Iqbal Chaudhary.
Oleh Tarani Lanting