
BINTULU: Keselamatan di jalan raya perlu diutamakan sepanjang musim perayaan Gawai terutamanya dengan mengelakkan perbuatan memandu selepas mengambil minuman alkohol.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, setiap individu perlu bersikap bertanggungjawab demi menjaga keselamatan diri dan orang lain.
“Perkara paling penting semasa musim Gawai ini adalah jika kita minum alkohol, jangan memandu.
“Kalau kita sedar kita tidak lagi waras atau tidak mampu berfikir dengan betul, jangan paksa diri untuk memandu kerana banyak perkara buruk boleh berlaku,” katanya.

Jelas beliau, masih ada individu yang berkeras mahu memandu walaupun dalam keadaan mabuk dan ini boleh mengundang risiko kemalangan.
“Kalau kita menziarahi rumah panjang atau sanak saudara, serahkan pemanduan kepada mereka yang tidak mengambil alkohol supaya kita semua dapat pulang dengan selamat.
“Ini soal keselamatan kerana pelbagai perkara tidak diingni boleh berlaku semasa musim perayaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis Pengerami Mantar Gawai Dayak Sebauh 2025 di sebuah restoran di sini, malam tadi (12 Mei).
Turut hadir, Timbalan Menteri Digital Malaysia, Datuk Wilson Ugak Kumbong; ADUN Jepak, Iskandar Turkee; ADUN Murum, Kennedy Chukpai Ugon serta Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti.
Oleh Carolyne Utih