SIBU: Kerajaan diminta untuk memberi keutamaan kepada keperluan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi Zon Tengah apabila melakukan persempadanan semula kawasan Parlimen/Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti.
Ini kerana majoriti di Zon Tengah diwakili PBB bagi memastikan pembangunan yang saksama serta menyesuaikan pertambahan pengundi baru daripada golongan belia yang perlu diberikan kesedaran tentang perjuangan PBB.
Ini antara 15 usul dibentangkan pada mesyuarat perwakilan cawangan PBB Zon Tengah 2025 yang dirasmikan oleh Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini hari ini.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) PBB, Safiee Ahmad merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata usul lain ialah memberi sokongan padu Abang Johari untuk terus menerajui PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memacu kestabilan politik Sarawak dan negara Malaysia.
Usul lain ialah:
- Ahli-ahli PBB Zon Tengah mengusulkan supaya kepimpinan tertinggi PBB Sarawak sedia ada dikekalkan dan tidak dipertandingkan bagi jawatan Presiden, dua Timbalan Presiden dan dua Naib Presiden Kanan.
- Ahli PBB meletakkan kepercayaan dan keyakinan penuh kepada kepimpinan PBB dan GPS untuk memimpin Sarawak bagi memastikan hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perlembagaan Persekutuan dikembalikan seperti yang dijanjikan oleh Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan.
- Ahli PBB berazam untuk memastikan status dan peranan PBB kekal dominan sebagai parti tulang belakang kepada kepimpinan GPS dan kerajaan Sarawak.
- Ahli PBB bertekad untuk memastikan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di Sarawak terus dipelihara dan diperkukuh agar masyarakat terus hidup aman, damai dan harmoni.
- Ahli PBB mengusulkan sokongan padu Belanjawan Sarawak 2025 yang memberikan keutamaan kepada pembangunan, kesejahteraan dan kebajikan rakyat Sarawak dengan memperuntukan RM15.8 billion dan sebahagian besar daripadanya adalah untuk pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas di luar bandar.
- Ahli PBB Zon Tengah mengusulkan agar kerajaan membina lebih banyak rumah mampu milik untuk membantu rakyat memiliki rumah kediaman sendiri, khususnya golongan muda yang berpendapatan rendah.
- Ahli PBB mengusulkan agar kerajaan Sarawak membina lebih banyak Skim Pembesaran Kampung (SPK) di kawasan zon tengah dan kita turut memohon agar semua SPK yang telah diluluskan sebelum ini juga dilaksanakan dengan spesifikasi yang baharu, lengkap dengan infrastruktur asas seperti menembok, membina jalan, pembinaan sistem saliran, bagi membantu memudahkan rakyat membina rumah kediaman yang lengkap dengan infrastruktur yang diperlukan.
- Ahli PBB Zon Tengah mengusulkan agar kerajaan mempercepatkan lagi proses penyukatan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dari Seksyen 6 ke Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.
- Ahli PBB mengusulkan supaya dilaksanakan kajian semula bagi menambah kuota Ahli-Ahli Majlis Daerah/ Perbandaran untuk wakil PBB di kawasan Zon Tengah ini memandangkan kita mempunyai banyak cawangan dan ahli-ahli PBB yang layak dan kompeten dalam menggalas tugas sebagai Kaunselor.
Oleh TARANI LANTING dan AKUN GIMAN