MENGGUNAKAN TANGGA… Lau Yong Soon menggunakan tangga untuk menuai buah lada di bahagian atas.
Usia yang semakin meningkat tua tidak menghalang Lau Yong Soon berjasa kepada tanah dan mendapatkan hasil pertanian yang lumayan dari usahanya itu.
Yong Soon berusia 74 tahun merupakan seorang pekebun yang menanam pelbagai tanaman di ladang depan dan belakang rumahnya Jalan Meruton/Merudu.
Antara tanaman yang ditanam oleh Lau ialah lada hitam, koko, durian, dabai dan rambutan.
Kini Yong Soon menarik nafas lega apabila usahanya kini turut dibantu cucu-cucunya yang kian meningkat dewasa dan salah seorang daripadanya ialah Lau Hui Eng,19.
Ketika Utusan Sarawak sampai di rumah mereka, Hui Eng yang merupakan anak kedua dari tiga beradik, sedang membersihkan kebun lada dan membaja lada di belakang rumahnya.
“Sejak mereka kecil lagi, mereka sering membantu saya di kebun. Saya berasa sangat bertuah kerana dibantu oleh cucu-cucu saya.
“Kadang-kadang lepas bermain di halaman rumah mereka datang membantu saya berkebun di belakang rumah.
“Saya turut dibantu oleh isteri, menantu dan anak lelaki saya iaitu bapa Hui Eng,” kata Yong Soon.
Yong Soon mempunyai pengalaman berkebun lebih 30 tahun lalu.
“Semasa usia muda, 30 tahun yang lalu, saya pernah menanam lebih 1,100 pokok lada hitam di kebun lada belakang rumah ini.
“Sekarang, saya hanya menanam lebih 300 pokok lada hitam saja dikebun. Kebun saya seluas lebih kurang tiga ekar setengah,” ujarnya.
Tambahnya, lebih setengah ekar kebun digunakan untuk menanam lada hitam.
“Lada hitam dan koko dikebun saya belum masak lagi pada masa ini dan akan dituai pada bila-bila masa dari sekarang setelah ia cukup matang.
“Saya menanam lebih kurang 400 pokok koko sejak dulu lagi dan hasilnya selalu dituai.
“Buah koko dituai tidak sekata kerana buah koko masak tidak sama tempoh. Dalam tempoh empat bulan ada juga buah koko di kebanyakkan pokok koko di kebun saya dapat dituai.
“Buah koko berwarna merah waktu muda dan bertukar kekuningan bila mula matang atau masak,” katanya lagi.
Kata Yong Soon, hasil jualan lada hitam, koko dan buah-buahan lain dikebunnya adalah sumber pendapatan mereka sejak dulu lagim
Sementara itu, Hui Eng yang ditemu bual Utusan Sarawak berkata, dia sudah biasa bersama kakak, adik perempuan dan sepupu-sepupunya membantu datuk mereka di kebun.
“Kami suka membantu datuk dikebun belakang rumah.
“Setiap pagi dan petang, datuk pergi ke kebun dan membersihkan kebun.
“Oleh kerana sekarang saya belum bekerja sepenuh masa, saya membantu datuk di kebun,” kata Hui Eng.
Hui Eng turut berasa gembira kerana dapat membantu datuknya.
“Datuk saya seorang yang penyayang dan rajin. Kami sebagai cucu-cucu datuk sangat bertuah kerana mempunyai datuk dan nenek serta ibu bapa yang sentiasa mengambil berat tentang kami.
“Terima kasih datuk, kami sayang datuk,” katanya lagi.
Oleh EARL ANEK