Menuntut ilmu tidak ada had usianya kerana selagi hayat dikandung badan, maka selagi itulah manusia sentiasa menimba ilmu. Pendek kata, manusia menuntut ilmu dari buaian hinggalah ke liang lahad.
Inilah yang dibuktikan oleh para pelajar Kelas Literasi Fungsian (PLF) anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) atau sebelum ini biasa dikenali sebagai Kelas Dewasa. Meski usia sudah lanjut tetapi mereka tetap gigih untuk menimba ilmu, terutama tiga asas yang ditekankan oleh Kelas PLF iaitu menulis, membaca dan mengira (3M).
Ada yang baharu sahaja belajar memegang pensel tetapi ini bukan halangan untuk mereka mengikuti kelas. Bersama rakan seperjuangan, mereka menghadiri kelas mengikut jadual bagi mencapai sasaran untuk celik huruf dan angka dalam tempoh dua tahun program berlangsung.
Bagi Penyelaras Kelas PLF di Marudi, Cikgu Rita Sultan Abdullah, tahun ini beliau bertanggungjawab untuk mendidik 30 peserta, terdiri daripada lapan peserta Kelas PLF Outreach Rumah Billy Anak Nickolas, Sungai Engkaras, lapan peserta Kelas PLF Rumah Lalo Anak Akang, Sungai Melikat, lapan peserta Kelas PLF Kampung Pemindahan B dan enam peserta Kelas PLF Rumah Michael Salengkor, Sungai Brit.
Menurut beliau, peserta PLF Outreach hanya dilaksanakan sebulan sekali dan ia merupakan kelas simpanan untuk penggantian kelas yang bakal tamat tahun hadapan.
Kelas PLF hakiki pula dilaksanakan setiap minggu selama dua tahun. Kelas akan diadakan selama dua kali seminggu dan setiap sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) berlangsung selama dua jam dan dua kali seminggu.
Menurut beliau, selain fokus dengan aktiviti 3M, tugasan sampingan pertama para peserta PLF tahun ini bertemakan Kemahiran iaitu menghasilkan kraf tangan kreatif bertema bunga-bungaan.
Menurut Cikgu Rita, dengan menghasilkan kraf tangan dan seni kreatif yang tidak pernah dicuba sebelum ini, ia dapat membantu peserta merangsang deria mata dengan melihat padanan warna-warna, selain dapat mengawal pergerakan tangan peserta.
“Aktiviti kemahiran merupakan salah satu cara untuk peserta belajar sesuatu yang luar dari penguasaan 3M tetapi secara tidak langsung membantu deria mata , deria warna dan kreativiti peserta,” kata beliau.
Memandangkan kebanyakan peserta tidak pernah menghasilkan kraf kreatif sebelum ini, aktiviti berkenaan sedikit sebanyak berjaya membawa daya kreativiti peserta ke tahap yang tinggi dan di luar zon selesa mereka semua .
Mengulas mengenai penerimaan peserta terhadap sesi P&P, Cikgu Rita bersyukur kerana semua peserta sentiasa teruja untuk menimba ilmu. Justeru mereka sentiasa memberi kerjasama dengan hadir ke kelas mengikut jadual dan tekun melaksanakan aktiviti P&P sebaik mungkin.
Oleh HAINI DARANI