
PENYANYI cilik kelahiran Sarawak, Taylor Louise berjaya membuktikan ‘usia bukan penghalang untuk berjaya’ apabila menerima ‘Diploma Akhir Dunia dan Sebutan Khas’ daripada ‘Jawatankuasa Junior dan Juri Sanremo’ di Kejohanan Dunia Solois Edisi ke-16, Teatro Ariston Sanremo, Itali pada 26 Mac lalu.
Pengiktirafan yang diraih Taylor berjaya meletakkan Malaysia antara lima negara teratas bagi kategori usia 10-12 tahun.
Mendendangkan lagu berjudul Easy On Me dipopularkan oleh Adele, Taylor berentap dengan 24 peserta di peringkat akhir pertandingan tersebut,
Pentas akhir menampilkan peserta dari 25 negara, termasuk Argentina, Armenia, Australia, Austria, Azerbaijan, Belarus, Brazil, Bulgaria, Finland, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Kazakhstan, Malaysia, Moldova, Montenegro, Macedonia Utara, Romania, Rusia, Afrika Selatan, Thailand, Ukraine dan Uzbekistan.
Sebelum melangkah ke pentas akhir, Taylor bersaing dengan lebih 1,000 peserta muda berbakat dari seluruh dunia.

Berjaya ke pentas akhir adalah bukti dedikasi dan minatnya dalam bidang nyanyian adalah detik membanggakan untuk Sarawak dan Malaysia.
“Saya amat berterima kasih kepada semua orang yang telah menyokong saya sepanjang perjalanan yang luar biasa ini.
“Pengalaman bersaing di Sanremo adalah sesuatu yang luar biasa. Saya berbesar hati untuk mewakili negara asal saya, Malaysia, dan menjadi sebahagian daripada acara yang luar biasa ini.
“Menerima Sebutan Istimewa (Special Mention) adalah penghormatan ikhlas yang mengiktiraf kualiti unik persembahan saya, dan ia mendorong saya untuk terus berkembang sebagai seorang artis,” kongsi Taylor.
Kejayaan Taylor di Sanremo juga telah mendapat jemputan untuk mengadakan persembahan di Festival Muzik Antarabangsa Macedonia 2025 pada Ogos ini, manakala Malaysia adalah antara tujuh negara yang dipilih menerima jemputan berprestij tersebut.
Pengarah Festival Muzik Antarabangsa Macedonia 2025 Toni Aleksovki telah menyampaikan sijil jemputan rasmi kepadanya sekali gus mengukuhkan lagi status bintangnya yang semakin meningkat dalam persada muzik global.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan Sarawak dan rakyat Malaysia atas semua kasih sayang, sokongan dan sorakan mereka.
“Walaupun saya tidak mencapai tempat yang lebih tinggi, namun saya komited untuk memperbaiki dan meneruskan perjalanan saya.
“Setiap langkah yang saya ambil di pentas itu diilhamkan oleh cinta saya kepada Sarawak dan dedikasi saya untuk mewakili masyarakat kita.” kata Taylor.
Taylor juga mengucapkan terima kasih yang tulus kepada Papanya kerana mereka pakaian cantik yang dipakainya semasa pertandingan tersebut.
Tidak lupa juga kepada Teacher Sabrina, yang sentiasa menjadi sumber bimbingan dan kepercayaan terhadap kebolehannya.
“Kepada semua pemenang di Pusingan Akhir Dunia Remaja Sanremo, tahniah! Pencapaian anda memberi inspirasi kepada saya untuk terus berusaha menjadi hebat. Saya mahu berkembang, bertambah baik dan meneruskan perjalanan muzik saya,” kata Taylor.
Selain itu, Taylor turut berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila dinobatkan sebagai juara Pusingan Antarabangsa di Asia Students Arts Festival (ASFA) 2025 baru-baru ini.
Gadis cilik ini juga meraih pingat emas dalam Kejohanan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) 2024 di Long Beach, Amerika Syarikat.