Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Usahawan Wanita tidak terpinggir
  • TEMPATAN

Usahawan Wanita tidak terpinggir

Utusan Sarawak 5 years ago
ISTERI Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib bersama Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Dato’ Sri Fatimah Abdullah pada upacara gimik Majlis Sambutan Hari Wanita Sarawak Tahun 2020 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), semalam. • Foto ANDRE OLIVEIRO.

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menapis senarai nama usahawan wanita yang memohon Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) dan Geran Khas Prihatin (GKP) namun belum mendapat sebarang bantuan kerana perniagaan mereka tidak mempunyai lesen atau berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau telah meminta Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan pasukan petugas Program Pendaftaran dan Perlesenan Usahawan Wanita (Puwas) untuk menyaring nama pemohon yang ketinggalan dan belum mendapat bantuan program kerajaan.

“Saya mendapat makluman daripada Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah masih ramai wanita yang tercicir daripada menerima bantuan yang disediakan kerajaan.

“Apa yang terjadi kerana banyak pengusaha wanita ini tidak berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan dan belum mendapat lesen perniagaan tetapi dalam masa yang sama mereka mengeluar dan menjual produk dari rumah.

“Bantuan ini adalah untuk membantu mereka yang terjejas akibat Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan beberapa bulan lalu.

“Maka kita akan meneliti isu ini serta menapis dan menyaring dahulu senarai nama pemohon bagi memastikan tiada permohonan bertindih,” katanya pada majlis pelancaran sambutan Hari Wanita Sarawak 2020 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini, semalam.

Abang Johari berkata demikian ketika mengulas permohononan Dato’ Sri Fatimah Abdullah kepada kerajaan negeri memberikan geran tambahan untuk Puwas bagi membantu usahawan wanita yang masih belum mendapat bantuan.

“Sebab itu permintaan daripada Fatimah ini akan kita saringkan dahulu dan selepas kita memutihkan angka-angka penerima dan kerajaan akan luluskan bantuan seperti yang dikehendaki oleh golongan wanita ini.

“Kita akan memastikan tidak ada usahawan wanita yang layak terpinggir daripada menerima bantuan kerajaan ini,” jelasnya.

Abang Johari berkata, sepanjang tiga tahun beliau menjadi Ketua Menteri, banyak bantuan telah dilaksanakan untuk membantu rakyat Sarawak terutamanya golongan wanita.

“Banyak lagi perkara yang akan kita laksanakan pada masa hadapan untuk membantu keluarga berpendapatan rendah terutamanya wanita,” ujarnya.

Oleh Zarina Abdullah

Continue Reading

Previous: JKKK dibenarkan laksana projek
Next: 54 pelajar, 10 pekerja terima biasiswa SEB

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.