
SARATOK: Siapa sangka perniagaan kerepek pisang yang bermula secara kecil-kecilan pada 2010, kini berkembang jadi bisnes wanita yang berjaya.
Itulah kisah luar biasa Jamilah Unai, pengasas Kerepek Pisang Warisan dari Kampung Masjid, Saratok yang kini makin mendapat perhatian ramai.
Lebih membanggakan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri sendiri telah bertemu dengan Jamilah untuk mendengar cerita di sebalik kejayaan produk kerepek pisang yang kini ada tiga perisa kegemaran ramai iaitu pedas manis, masin dan perisa keju.
“Kita bangga dengan kejayaan usahawan wanita Saratok ini. Beliau bukan sahaja berjaya bangunkan produknya sendiri, malah mampu jadikan kerepek pisang sebagai jenama warisan yang dikenali,” kata Mohamad Duri.
Jamilah yang bermula dengan modal kecil kini sudah melakar nama besar. Baru-baru ini, beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Usahawan Jaya Industri Asas Tani Spaoh Agrofest 2025, sekali gus membawa pulang Sijil Penghargaan, Piala dan wang tunai RM1,000.
“Melalui pertemuan ini, saya mendengar secara terperinci dan teliti akan permohonan daripada Jamilah bagi meningkatkan lagi pemprosesan, pembungkusan serta kaedah pasaran Kerepek Pisang Warisan beliau.
“Saya akan membantu beliau dengan memberikan input pertanian melalui bantuan di bahagian Asas Tani Jabatan Pertanian Daerah Saratok,” katanya.
Dari dapur kampung ke pentas anugerah, kisah Jamilah bukti usahawan wanita Saratok ini mampu pergi jauh dengan semangat, inovasi dan sokongan komuniti.
Oleh Adi Safarman