
KUALA NERUS, 9 Jun -- Para pekerja menjemur belacan yang diusahakan Muhammad Aimy Shahril Mat Ali, 20, semasa cuaca panas ketika tinjauan di Kampung Seberang Takir hari ini. Usianya baru 20 tahun namun siapa sangka, remaja dari Kampung Hujung Tanjung, Seberang Takir ini antara pengusaha belacan terbesar di negeri ini dengan pendapatan bulanan lumayan. Beliau mewarisi perniagaan belacan daripada arwah ibu bapanya ketika dia berusia 16 tahun pada 2017. Biarpun dikategorikan sebagai peniaga berjaya namun sifatnya yang rendah hati dan sentiasa berpegang kepada pesanan arwah ibu bapa membuatkannya tidak hanyut dengan kemewahan dan menjalani kehidupan secara sederhana. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
USAHAWAN MUDA… Pengusaha Muhammad Aimy Shahril Mat Ali, 20, meneruskan usaha ayah yang menjalankan perniagaan belacan secara kecil-kecilan.
MESKIPUN di usia muda, seorang pemuda sudah mampu meraih pendapatan yang lumayan dengan hanya menjual belacan.
Menurut pemilik Belacan Sri Tanjung Mas, Muhammad Aimy Shahril, 20, kebiasaannya dia berjaya meraih hasil lumayan.
Katanya, dia pada mulanya sekadar suka-suka dan ingin meneruskan usaha ayah yang menjalankan perniagaan belacan secara kecil-kecilan.
“Saya bersekolah sampai tahun lima sahaja dan belajar agama di sekolah pondok selepas itu.
“Ketika musim cuti, saya akan membantu arwah bapa membuat belacan dan pada usia 14 tahun, bapa mula mengajar saya selok belok berniaga belacan.Saya mewarisi perniagaan ini selepas ayah meninggal kerana saya merupakan anak tunggal,”ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, ayahnya mengusahakan belacan lebih 20 tahun dan beliau kini mengambil alih perniagaan itu setelah lima tahun pemergian ibu bapanya dengan pekerja seramai 12 orang berusia 18 hingga 50 tahun.
“Setakat ini kami dapat membuat 1,600 ketul belacan sehari jika cuaca panas,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab merasa bangga dengan usaha anak muda tersebut yang juga anak jati Seberang Takir.
“Kejayaannya dalam bidang perniagaan belacan boleh dicontohi oleh remaja lain,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Menurut Muhammad Aimy Shahril, dia merancang mengembangkan lagi perniagaannya di seluruh negara pada masa akan datang.