









ANTARA produk dekorasi tayar terpakai yang dihasilkan oleh usahawan, Muhammad Akhmal Adib, 33, ketika ditemui fotoBernama di bengkelnya di Kampung Pulau dekat Durian Tunggal, hari ini. Bermula secara suka-suka menghasilkan pasu bunga ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020, bekas pemandu lori berusia 33 tahun dari Durian Tunggal, Melaka ini tidak menyangka hobinya itu kini bertukar menjadi perniagaan sepenuh masa. Bagi Muhammad Akhmal, usaha yang dilakukannya lebih daripada sekadar perniagaan kerana turut menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar menerusi amalan kitar semula tayar yang sukar dilupuskan secara konvensional. Foto BERNAMA
BAGI kebanyakan orang, tayar terpakai mungkin dianggap sebagai bahan buangan yang tiada nilai, namun bagi Muhammad Akhmal Adib ‘sisa’ itu menjadi sumber rezeki apabila diolah menjadi pelbagai produk kreatif yang kini mendapat permintaan tinggi.
Bermula secara suka-suka menghasilkan pasu bunga ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020, bekas pemandu lori berusia 33 tahun dari Durian Tunggal, Melaka ini tidak menyangka hobinya itu kini bertukar menjadi perniagaan sepenuh masa.
Menghasilkan sebanyak 32 bentuk unik termasuk pasu bunga, papan tanda kediaman, kerusi, meja serta pelbagai bentuk haiwan seperti burung bangau, kura-kura dan katak dengan menggunakan hampir 1,000 tayar terpakai setiap bulan bagi memenuhi tempahan pelanggan dari seluruh Semenanjung.
“Pada permulaan dulu, saya cuba buat pasu bunga untuk hiasan rumah. Kemudian isteri saya cadangkan supaya buat cantik-cantik dan promosikan di Facebook. Tak sangka usaha saya itu ada yang bertanya untuk membeli, makin lama makin bertambah pelanggan hingga ke hari ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menurutnya, sebanyak 100 tayar digunakan setiap bulan ketika mula menghasilkan produk unik berasaskan bahan terpakai itu, namun sejak dua tahun kebelakangan ini dengan permintaan yang bertambah turut meningkatkan penggunaan 10 kali ganda tayar terpakai setiap bulan.
Lazimnya, produk yang dihasilkan untuk kegunaan hiasan taman, landskap kediaman, papan tanda kreatif, dekorasi sekolah dan projek komuniti berteraskan kelestarian alam sekitar yang akan dihantar kepada pelanggan menggunakan perkhidmatan kurier.
Antara produk paling laris ketika ini ialah pasu comel bersaiz kecil (sekitar 18 hingga 20 inci) dan Muhammad Akhmal mampu menyiapkan 50 unit pasu kecil itu dalam tempoh dua hari.
“Sebelum ini, saya boleh ambil percuma dari kedai tayar tapi banyak yang rosak hingga ada dawai yang sudah terkeluar, jadi ia membahayakan sekiranya dibuat produk untuk dijual. Jadi, sekarang saya beli tayar terpakai yang masih keadaan elok dengan harga antara RM2.50 hingga RM5 sebiji bergantung pada saiz,” katanya.
Beroperasi di bengkel yang dibina khas di kawasan rumahnya, setiap tayar yang dikumpul akan dicuci, dipotong dan dibentuk mengikut rekaan tertentu sebelum disambung menggunakan skru dan dicat dengan warna-warna ceria.
Produk akhir pula katanya akan dilengkapkan dengan perincian seperti mata, corak atau tulisan sebelum disembur kemasan pelindung agar tahan cuaca.
“Saya ambil inspirasi daripada pelbagai sumber dan ada idea daripada pelanggan, ada daripada mainan anak-anak. Saya juga pernah belajar kimpalan, jadi itu banyak membantu dari segi rekaan dan struktur produk,” katanya
Dibantu dua pekerja, beliau menjelaskan jangka hayat sesuatu produk itu mampu bertahan lama hingga lebih lima tahun kerana sifat semula jadi getah tahan lasak, tidak mudah reput meskipun terdedah kepada hujan dan panas.
Mampu meraih pendapatan antara RM7,000 hingga RM8,000 sebulan hasil jualan dan tempahan yang diterima, bapa kepada dua anak ini melihat usaha yang dilakukannya lebih daripada sekadar perniagaan kerana turut menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar menerusi amalan kitar semula tayar yang sukar dilupuskan secara konvensional.
“Kebanyakan orang anggap tayar terpakai sampah dan buang begitu sahaja, tapi saya nampak ia ada sesuatu yang berguna bila kita olah dengan kreatif,” katanya yang turut bercita-cita untuk meluaskan lagi perniagaannya ke seluruh negara.– Bernama