LAWAS: Usahawan kecil perlu manfaatkan perlaksanaan beberapa projek mega pada suku pertama 2025 untuk mencari peluang dalam perniagaan.
Penolong Pengurus Cawangan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Lawas, Mohd Ismawi Bahar berharap usahawan kecil yang bernaung dibawah AIM dapat memenuhi keperluan dalam industri makanan, minuman, penginapan dan sebagainya sejajar dengan kehadiran ramai pekerja dalam sektor pembinaan.
Pada masa sama, AIM Wilayah telah memberi peruntukan tambahan berjumlah RM13.4 juta tahun depan untuk pinjaman kepada sahabat-sahabat AIM mengembangkan penglibatan dalam kegiatan ekonomi setempat.
‘Banyak projek mega yang akan dilaksana di Lawas, salah satunya pelabuhan jadi peluang untuk sahabat-sahabat AIM ini memang luas.
“Usahawan atau kita kenali sahabat-sahabat AIM di Lawas ini boleh menceburi pelbagai sektor daripada segi perniagaan peruncitan, penternakan dan keperluan lain pekerja dalam sektor pembinaan mahupun pelawat dari negara jiran,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program Malam Gala Sahabat Usahawan Madani Amanah Ikhtiar Malaysia Cawangan Lawas di Stadium Tertutup Lawas baru-baru ini.
AIM Lawas telah beroperasi sejak 20 tahun lalu dengan jumlah keahlian setakat November 2024, 1,905 orang.
Jumlah pinjaman yang telah diagihkan setakat November tahun ini pula adalah RM12.4 juta.
Hadir sama Penolong Pengurus Wilayah AIM Wilayah Sarawak Abang Mahsen Abang Ajak; Ketua Lembaga Perwakilan Sahabat, Nurashimah Matsapar dan Pengerusi Kelab Wanita Ikhtiar Lawas Dayang Lina Tahar.
Oleh ADENG EDRUS