
SIBU: Pembinaan dua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) baharu di Engkilili dan Dalat dijadualkan bermula tahun ini sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kecekapan operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.
Ketua Pengarah JBPM, Dato’ Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada pembangunan infrastruktur fizikal yang dirancang bagi mendepani cabaran kekangan jarak dan topografi muka bumi di Sarawak.
“Dalam aspek pembangunan infrastruktur, insya-Allah dua projek fizikal pembinaan baharu bagi BBP Engkilili dan BBP Dalat akan mula dilaksanakan tahun ini, melibatkan peruntukan yang telah diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Othman Abdullah pada majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Sijil Perkhidmatan 30 Tahun dan Sijil Perkhidmatan Terpuji PBB peringkat JBPM Negeri Sarawak di Dewan Canselor Universiti Teknologi Sarawak (UTS), di sini, hari ini.
Tambah beliau, beberapa projek sambungan lain seperti BBP Sungai Asap, Tatau dan Daro, termasuk pembelian bangunan bagi BBP Kota Sentosa turut akan terus dipergiatkan pelaksanaannya.
Menurutnya, jumlah keseluruhan peruntukan yang diluluskan menerusi Rolling Plan ke-5 (RP5) bagi pelaksanaan projek itu mencecah RM42 juta, dengan RM4.9 juta daripadanya akan disalurkan pada tahun ini.
“Saya harap Tuan Jamri (Pengarah JBPM Negeri Sarawak) dan pasukan membuat pemantauan rapi dan berterusan bagi memastikan kemajuan projek ini adalah mengikut perancangan serta jadual yang ditetapkan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, pemerkasaan Bomba Komuniti dan Pasukan Bomba Sukarela juga merupakan antara inisiatif penting dalam usaha menangani cabaran geografi di Sarawak.
Katanya, strategi memperkasa Bomba Komuniti dan Pasukan Bomba Sukarela membolehkan tindakan awal diambil sebelum ketibaan pasukan bomba profesional dalam menangani sebarang insiden kecemasan.
“Inisiatif ini sangat berkesan dalam memperkasakan komuniti dari aspek pengurusan kecemasan dan keselamatan kebakaran,” katanya.
Turut hadir, Pengarah JBPM Negeri Sarawak Jamri Masran dan penolongnya Tiong Ling Hii.
Oleh Tarani Lanting