
KUCHING: Usaha Tadika Krista Taman Centurion memberi pendedahan awal mengenai keselamatan jalan raya kepada murid prasekolah mendapat pujian daripada Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Program yang dirasmikan pada hari ini disifatkan sebagai langkah penting dalam menanam kesedaran, disiplin dan rasa tanggungjawab terhadap keselamatan sejak usia muda.
Menurut Fatimah, pendekatan ini menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat dan sesuai dengan perkembangan kanak-kanak bagi membolehkan mereka meneroka situasi lalu lintas sebenar.
“Ini bukan sekadar aktiviti bermain, tetapi peluang untuk anak-anak memahami peraturan lalu lintas, mengenali papan tanda jalan dan mempraktikkan tingkah laku pejalan kaki yang betul,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Seramai 50 murid mengambil bahagian sebagai duta kecil keselamatan jalan raya melalui aktiviti pembelajaran interaktif yang menyeronokkan.
Fatimah menegaskan, pendidikan seperti ini seiring dengan usaha membentuk generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga memiliki nilai murni, kesedaran keselamatan dan kemahiran hidup yang berguna.
Beliau turut memuji institusi pendidikan awal di Sarawak yang melaksanakan program pembinaan sahsiah seperti literasi kewangan ‘Menyimpan untuk Masa Depan Emas’ yang mendidik kanak-kanak menabung dan mengurus kewangan dengan berhemah.
Selain itu, Fatimah menekankan nilai kebersihan sebagai tanggungjawab bersama yang wajar dipupuk sejak kecil, agar lahir warganegara yang menghargai persekitaran bersih seperti masyarakat Jepun.
Mengulas statistik kemalangan, beliau memaklumkan sebanyak 174 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara antara Januari hingga Jun 2025, selain 70 kes parah dan 145 kes ringan, manakala lebih 10,000 orang dilaporkan cedera.
“Pendidikan, penguatkuasaan undang-undang dan kawalan diri adalah kunci mengurangkan kemalangan.
“Keselamatan jalan raya bukan hanya tugas guru, tetapi juga ibu bapa dan komuniti,” tegasnya sambil mengingatkan agar budaya memakai topi keledar diteruskan walaupun anak sudah meningkat remaja.