Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Usaha sifar sisa di Bintulu dipacu kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu dan UPM Sarawak
  • Utara
  • WILAYAH

Usaha sifar sisa di Bintulu dipacu kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu dan UPM Sarawak

Utusan Sarawak 4 hours ago
SETIAUSAHA Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Wan Ibrahim Wan Ali dan tetamu jemputan lain menyempurnakan simbolik inisiatif sifar sisa sempena program Ke Arah Sifar Sisa di Bintulu: Pemerkasaan Alam Sekitar Belia 2026 anjuran bersama BDA dan Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).

BINTULU: Inisiatif pengurusan sisa mampan di Bintulu terus diperkukuh menerusi kerjasama antara Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), yang memberi tumpuan kepada penglibatan belia serta pelaksanaan pendekatan berasaskan komuniti.

Setiausaha BDA, Wan Ibrahim Wan Ali berkata, komitmen bersama itu diterjemahkan melalui penganjuran program Ke Arah Sifar Sisa di Bintulu: Pemerkasaan Alam Sekitar Belia 2026 serta penglibatan sebagai rakan strategik bagi inisiatif Menuju Sifar Sisa Makanan di Bintulu bersama UPMS.

Menurut beliau, penekanan terhadap pendidikan dan peningkatan kesedaran awam merupakan asas penting bagi membentuk perubahan sikap masyarakat sebelum amalan pengurusan sisa lestari dapat dilaksanakan secara menyeluruh di peringkat komuniti.

SETIAUSAHA Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Wan Ibrahim Wan Ali berucap pada program Ke Arah Sifar Sisa di Bintulu: Pemerkasaan Alam Sekitar Belia 2026 di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), Bintulu.

“BDA melihat kerjasama ini sebagai langkah penting untuk memperkukuh pengurusan sisa di Bintulu melalui pendekatan berperingkat, bermula dengan pendidikan dan kesedaran sebelum diterjemahkan kepada tindakan praktikal di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program berkenaan yang turut merangkumi pelancaran aplikasi KitarNow di Dewan Sri Kenyalang, UPMS di sini, hari ini.

Program tersebut turut menandakan pelancaran aplikasi KitarNow yang dibangunkan oleh UPMS dengan sokongan BDA sebagai antara usaha memanfaatkan teknologi bagi menyokong agenda kelestarian alam sekitar.

Wan Ibrahim menjelaskan, aplikasi KitarNow berperanan sebagai medium praktikal untuk menggalakkan perubahan tingkah laku positif masyarakat, khususnya dalam amalan kitar semula dan pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab.

Sementara itu, Pengarah Kampus Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Profesor Dr Shahrul Razid Sharbini berkata, pembangunan aplikasi berkenaan mencerminkan peranan universiti dalam menggunakan pendekatan teknologi bagi menyokong amalan kelestarian yang mudah diakses oleh masyarakat.

 PENGARAH Kampus Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Profesor Dr Shahrul Razid Sharbini berucap sempena pelancaran aplikasi KitarNow dan program pemerkasaan alam sekitar belia di UPMS, Bintulu.

Menurutnya, KitarNow direka bagi membantu komuniti memahami konsep kitar semula, menyokong ekonomi kitaran serta memupuk pengurusan sisa yang lebih berhemah dalam kehidupan seharian.

Beliau menambah, inisiatif tersebut selari dengan aspirasi Bintulu untuk berkembang sebagai bandar yang inklusif, selesa didiami dan mampan, selain menyokong usaha memposisikan bandar itu sebagai Hab Perindustrian Rendah Karbon.

Oleh Carolyne Utih

Continue Reading

Previous: Projek Jambatan Batang Saribas 2 capai 80.5 peratus, dijangka dibuka November ini
Next: Kesedaran kesan plastik dan amalan sifar sisa dipupuk dalam kalangan pelajar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.