
SIBU: Persatuan Teochew Sibu dipuji atas komitmennya bukan sahaja dalam memelihara dan mempromosikan budaya tradisional Teochew, tetapi juga kerana peranannya yang aktif dalam menyokong pendidikan dan pembangunan generasi muda komuniti tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata, usaha berterusan persatuan itu merupakan satu tenaga positif dalam memperkukuh masyarakat.
“Masyarakat Teochew amat menitikberatkan pendidikan anak-anak mereka. Nilai murni ini telah diamalkan secara turun-temurun, bukan sahaja memberi manfaat kepada keluarga masing-masing, tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhan,” katanya ketika berucap pada Malam Kebudayaan Persatuan Teochew Sibu di Pavilion Cina, Festival Kebudayaan Borneo (BCF) 2025 di Dataran Tuanku Haji Bujang, di sini baru-baru ini.

Chieng turut menyatakan kegembiraannya melihat penyertaan aktif golongan muda Teochew dalam mempromosikan keunikan dan keindahan budaya mereka.
Beliau menegaskan bahawa tanpa penglibatan generasi muda, sesuatu budaya akan mudah lenyap, namun dengan semangat dan sokongan mereka, warisan budaya dapat dikekalkan untuk jangka masa panjang.
“Saya berharap pada masa hadapan, malam seni budaya seperti ini akan menarik lebih ramai penyertaan daripada rakan-rakan etnik lain, agar mereka turut sama merasai keunikan budaya Cina. Ini secara tidak langsung akan memperkukuhkan lagi semangat multikulturalisme dalam kalangan kita,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Teochew Sibu, Kapitan Su Ngio Kee, dalam ucapannya berkata bahawa kebudayaan Teochew yang diwarisi turun-temurun mencerminkan semangat, kemajuan, perpaduan dan keakraban dalam kalangan masyarakat Teochew.
Beliau turut menggesa generasi muda agar berganding bahu dalam memastikan kebudayaan ini terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Turut hadir Penasihat Kehormat Persatuan Teochew Sibu, Penghulu Chua Hiong Kee.
Oleh Raihan Omera Kausar