
SIMANGGANG: Dalam usaha memperkukuh kualiti pendidikan di peringkat akar umbi, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis menegaskan bahawa kemajuan prestasi murid-murid merupakan keutamaan dalam setiap program sekolah yang dianjurkan di kawasan beliau.
Menurutnya lagi, murid-murid hari ini merupakan pelapis kepada pemimpin Sarawak di masa hadapan, dan oleh itu, penekanan terhadap pencapaian akademik, sahsiah serta keterlibatan dalam aktiviti kokurikulum perlu diberi perhatian yang serius.
“Saya amat menitikberatkan kemajuan prestasi murid-murid kerana mereka bukan sahaja bakal pewaris kepimpinan negeri, malah aset penting dalam membangunkan masyarakat yang berilmu, beretika dan progresif, untuk itu saya amat mementingkan aspek prasarana bagi menyokong kemenjadian murid dalam membentuk modal insan berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Merarau Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Klassen, Undop di salah sebuah restoran di Bandar Simanggang hari ini.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata dalam usaha memastikan pembangunan pendidikan yang holistik dan berdaya saing, kerajaan Sarawak terus menunjukkan komitmen berterusan dalam melahirkan modal insan berkualiti yang mampu memacu kemajuan negeri pada masa hadapan.
Tambah beliau, pendekatan ini bukan sahaja memberi peluang pendidikan berkualiti kepada anak-anak Sarawak malah membuka ruang kepada inovasi dan pembangunan penyelidikan yang relevan dengan keperluan industri tempatan dan global.
Pada majlis tersebut Harden telah meluluskan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi tahun 2026 berjumlah RM5,000 kepada SK Nanga Klassen digunakan untuk membiaya kos aktiviti yang bakal dilaksanakan oleh pihak sekolah.
Turut hadir ialah Guru Besar SK Ng Klassen, Welfred Manjan Radin, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Benard Gubar, Pemanca Denneil Saweng, Penghulu Mingging Sigan, Penghulu Andar Suntai, Kaunselor Micheal Pillow Lachen dan Kaunselor Dilang Jungai.
Oleh Adi Safarman