SIBU: Kerajaan Sarawak merancang untuk membina 1,820 unit Rumah Spektra Permata (RSP) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia adalah sebagai usaha untuk memenuhi keperluan rakyat di negeri ini untuk memiliki kediaman sendiri.
“Dalam tempoh RMK11 (2015-2020), kita membina 2,470 unit rumah di seluruh Sarawak dengan kos RM259 juta. RMK-12 ini kita akan membina 1,820 unit rumah dan kita akan tambah demi masyarakat kita di sini.
“Pendapatan kerajaan negeri bertambah dengan hasil cukai jualan gas dan minyak, kita akan melabur untuk mendirikan rumah RSP ini di seluruh Sarawak.
“Pembinaan RSP ini telah siap di Lundu, Sematan, Kemuyang, Darul Hana, Bunga Rampai, Igan, Tian dan Rangau,” jelasnya pada lawatan ke Perumahan Spektra Permata Kemuyang, hari ini.
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, golongan muda di Sarawak akan dibantu memiliki rumah sendiri menerusi Skim Bantuan Deposit Perumahan Sarawak.
“Bantuan ini menyasarkan golongan muda yang baharu mendirikan rumah tangga bagi membolehkan mereka memilik kediaman sendiri.
“Menerusi skim ini, kerajaan negeri akan menanggung deposit RM10,000. Kita memperuntuk RM20 juta di bawah skim ini bagi membantu kumpulan B40 dan M40 memiliki kediaman sendiri.
“Skim ini akan diuruskan Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd (Mutiara) dan terpakai untuk pemilikan projek perumahan mampu milik yang dibenarkan Kerajaan Negeri Sarawak,” ujarnya.
RSP adalah Program Perumahan di bawah Kerajaan Negeri Sarawak untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan berpendapatan pertengahan (M40) untuk memiliki rumah kediaman.
Program RSP membantu golongan berpendapatan rendah khususnya di luar bandar melalui Skim Penempatan Semula (SPS) Jabatan Tanah dan Survei dan Skim Perluasan Kampung (SPK).
RSP Kemunyang membina 110 unit untuk keluarga tambahan mangsa kebakaran Kampung Dato, Kampung Hilir, Kampung Nyabor dan Kampung Bandong.
Jenis rumah dibina rumah berkembar satu tingkat dan bertiang. Semua unit dijual pada harga RM90,000 hingga RM160,000. Pengeluaran Permit Pendudukan (OP) pada 25 Oktober 2021.
Pada lawatan itu, Ketua Menteri turut menyerahkan simbolik penyerahan kunci kepada penerima iaitu Nurhassanah Matasan, Jismandy Rambeli, Irwan Ismail, Haminah Kinit dan Nora Bujang.
Turut hadir ialah Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapaee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Sosio Ekonomi), Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datu Antonio Khati Galis, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datu Sr Zaidi Mahdi, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Datu Abdullah Julaihi, Residen Bahagian Sibu, Wong Hie Sieng
dan Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Mohamad Asman Ahmad.
Oleh AKUN GIMAN