
KAPIT: Pakar Transfusi Darah Hospital Sibu dan Ketua Kluster Perubatan Transfusi Darah Zon Tengah Sarawak Dr Syazwana Syirin telah mengadakan lawatan rasmi ke Unit Tabung Darah Hospital Kapit pada Rabu lepas.
Lawatan itu turut disertai oleh pegawai perubatan serta tiga juruteknologi makmal perubatan dari Hospital Sibu yang bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama serta perkongsian maklumat.
Selain itu, lawatan bagi memberi ruang kepada tabung darah Hospital Kapit untuk saling berkongsi maklumat terkini berkaitan tugas kerja, beban kerja dan isu semasa terkait pengoperasian.
Usaha ini bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan oleh tabung darah kekal cekap dan berkesan demi kepentingan pesakit serta komuniti setempat.
Unit Tabung Darah Hospital Kapit merupakan salah satu unit di bawah perkhidmatan patologi.
Unit ini diterajui oleh pegawai sains biokimia dan empat orang juruteknologi makmal perubatan.
“Mereka mengendalikan sampel-sampel darah pesakit, melakukan kutipan darah berkala dan juga memastikan terdapat stok bekalan darah di Hospital Kapit,” ujarnya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Selain itu, unit tabung darah Hospital Kapit juga mempunyai keunikan tersendiri di mana ia merupakan satu-satunya tabung darah di zon tengah Sarawak yang melakukan kutipan darah (walk in donor) pada waktu malam.
Setakat April 2025, unit tersebut telah mencatatkan sebanyak 269 kutipan darah.
Untuk rekod, Hospital Kapit merupakan satu-satunya hospital di Bahagian Kapit dan dikategorikan sebagai Hospital Berpakar Minor.
Ia mula beroperasi pada tahun 1959 dan kini berkhidmat untuk penduduk di empat daerah utama iaitu Kapit, Song, Belaga dan Bukit Mabong.
Bahagian Kapit meliputi keluasan sekitar 38,934 kilometer persegi, iaitu sebesar Negeri Pahang Darul Makmur.
Oleh Akun Giman