INDUSTRI dunia percetakan media tradisional semakin malap akibat munculnya media digital.
Langkah strategik perlu digerakkan bagi memastikan kebajikan pekerja industri ini terus berlangsung.
Pada masa sama, peranan media dan wartawan perlu jelas, iaitu memastikan berita dan analisis yang menjadi tonggak utama mereka terus berlangsung.
Ia bukan sekadar tugas melapor, tetapi juga mencetuskan idea segar, malah memimpin suara rakyat untuk diangkat dan diketengahkan kepada masyarakat serta berteraskan nilai kebenaran dan mampu mencerdaskan bangsa.
Idealisme kewartawanan adalah tinggi dan menjadi impian bagi mereka berminat dan menceburi bidang ini untuk mencapai idealisme ini.
Namun, globalisasi begitu mendampak, kemajuan teknologi membawa cabaran lebih besar, iaitu bersaing dengan gergasi media dunia yang mampu menelan media kecil mana-mana negara.
Industri Iklan
Industri media dihidupkan dengan segar melalui pengiklanan.
Namun, iklan kini lebih banyak secara maya berbanding media konvensional.
Hakikatnya, perubahan zaman memperlihatkan perbelanjaan iklan yang dikenali sebagai adex yang hanya 10 peratus yang terdapat pada media digital suatu ketika dahulu kini meningkat kepada 59 peratus.
Perbelanjaan iklan (adex) akhbar dahulu ialah 48 peratus pada 2013, kini telah turun kepada hanya tujuh peratus sahaja.
Sudah tentu ini bukan berita baik kepada industri akhbar cetak.
Kos operasi pula semakin tinggi dan dapatan iklan semakin mengecil.
Kek Adex iklan tidak semua pemilik bisnes akhbar menikmatinya.
Kalau ada pun, tidak dapat menampung kos sumber manusia, urusan operasi dan ini mempengaruhi piawaian mutu berita dan analisis.
Media tradisional tentu tidak sama dengan media besar nasional, manakala media besar nasional pula berada di padang yang tidak sama rata.
Bermakna masing-masing media mengalami kesukaran akibat rempuhan teknologi gergasi seperti Google, Facebook dan YouTube yang mampu meraih iklan yang lebih cepat, murah dan berganda impak aksesnya.
Hakikat Monopoli
Berdasarkan laporan Suruhanjaya Pelaburan dan Sekuriti Australia yang mendapati bahawa keterjejasan teruk pendapatan iklan media konvensional terhadap digital dikuasai oleh gergasi media.
Bagi setiap 100 dolar Australia perbelanjaan iklan secara maya, $53 akan mengalir ke Google, $28 ke Facebook dan $19 ke pihak lain.
Keterjejasan teruk ini menyebabkan kos operasi dan industri media konvensional terjejas teruk.
Hakikatnya pula Google dan Facebook menjana $4.3 bilion, Facebook menghasilkan hampir $1 bilion pendapatan.
Akhbar Don Dorrigo Gazette terbit sejak 1910 dan sudah berusia 110 tahun antara contoh daripada puluhan akhbar termasuk akhbar wilayah sudah menutup operasi.
Sebenarnya, situasi ini adalah situasi global.
Di Amerika Syarikat (AS), terdapat 2,200 akhbar tempatan mereka ditutup operasi sejak 2005 hingga 2021.
Di United Kingdom (UK), terdapat 300 akhbar tempatan ditutup sejak 2009 hingga 2019.
Pada 2016, akhbar terkenal The Independent mengumumkan penerbitan secara maya sahaja dan menutup versi cetakan.
Elak dimakan Gergasi Media
Perancis adalah negara pertama di dunia yang mewajibkan syarikat gergasi Google agar membayar royalti kepada syarikat media apabila memaparkan artikel, gambar dan video dalam hasil cariannya.
Selama ini, Google bebas memaparkan sebahagian daripada artikel atau imej kecil dalam hasil cariannya dan di Google News, tanpa membuat sebarang pembayaran kepada penerbitnya.
Kini, terdapat peraturan baharu Kesatuan Eropah (EU) bahawa, semua syarikat internet perlu membayar bagi akses kandungan tersebut.
Sebagai gergasi media terbesar dunia, Google menyangkal dan menyatakan tidak akan menggunakan kandungan dalam hasil carian kecuali ditawarkan percuma oleh penerbit.
Langkah Kesatuan Eropah
Tindakan untuk menjaga kebajikan media tempatan dilakukan oleh Eropah dapat dilihat melalui undang-undang baharu yang berkuatkuasa sejak 24 Oktober 2019.
Ini untuk memastikan firma media menerima bayaran selepas kandungan asal dipaparkan dalam Google, Facebook dan gergasi teknologi lain yang menguasai pasaran pengiklanan dalam talian.
Sebenarnya, ia mewujudkan hak perundangan bagi memastikan satu bentuk perlindungan hak cipta dan bayaran pampasan kepada firma media, apabila kandungan milik mereka digunakan dalam laman web seperti enjin carian menurut laporan AFP.
Namun seperti dijangka, Google tidak berhasrat untuk membayar syarikat media di Eopah kononnya atas dasar akan menjejaskan kepercayaan pengguna.
Tindakan Australia
Pada awal 2021, pemerintah Australia mengenakan undang-undang yang dikenali sebagai ‘News Media Bargaining Code’ kepada perusahaan media sosial besar, termasuk Facebook dan Google.
Tujuan utama undang-undang ini adalah untuk memaksa perusahaan teknologi ini untuk membayar royalti kepada penerbit berita tradisional atas kandungan berita yang dikongsi di platform mereka.
Asas Kenakan Bayaran
Dominasi pasaran oleh Google dan Facebook yang merupakan dua platform terbesar di dunia dalam hal lalu lintas dan pengguna aktif digital yang mendominasi pasaran pengiklanan digital dan menjadi sumber utama maklumat bagi masyarakat dunia.
Namun, bagi penerbit berita tradisional tempatan, mereka menghadapi penurunan pendapatan dari iklan cetak dan digital, yang mengancam kelangsungan ekonomi kehidupan mereka, sedangkan kandungan mereka diguna pakai oleh Google dan Facebook misalnya.
Daripada aspek pendapatan daripada kandungan berita, meskipun Facebook dan Google menjadi sumber lalu lintas digital dan pembaca untuk banyak berita, penerbit berita tradisional tidak menerima pampasan atau bayaran yang setimpal atas kandungan berita mereka yang dikongsi di platform ini.
Ini menciptakan kesenjangan ekonomi yang signifikan antara perusahaan teknologi besar dan media berita.
Hakikatnya, berita konvensional menyumbangkan kandungan berita.
Penerbit berita tradisional tempatan sebenarnya adalah penghasil kandungan berita yang mereka hasilkan memberikan nilai kepada platform seperti Google dan Facebook dengan menarik pengguna dan iklan.
Maka, mereka perlu dihargai dan diberikan pembayaran atau pampasan yang adil atas sumbangan mereka dalam menyediakan kandungan yang bernilai.
Apabila meminta pampasan kepada penerbit gergasi seperti Google dan Facebook, maka keseimbangan antara kepentingan niaga dan kepentingan masyarakat dalam akses berita yang lebih munasabah dapat dilakukan.
Pendirian Malaysia
Apabila Kerajaan Australia meluluskan undang-undang pada Disember 2021 iaitu platform digital seperti Meta dan Google dikehendaki membayar saluran media tempatan dan penerbit untuk memuatkan kandungan mereka pada suapan berita atau dalam hasil carian turut memberikan inspirasi kepada Malaysia.
Sudah ada juga desakan daripada penggiat media Indonesia mengenai isu yang sama ini.
Google dikehendaki membayar saluran media tempatan dan penerbit untuk memuatkan kandungan mereka pada suapan berita atau dalam hasil carian.
Baru-baru ini Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menegaskan akan merangka merangka rang undang-undang berkaitan pemulangan perbelanjaan pengiklanan atau adex demi kelangsungan organisasi media di negara ini.
Penggubalan rang undang-undang itu penting kerana beliau tidak mahu melihat lebih ramai pengamal media kehilangan pekerjaan atau menjalankan skim pemisahan sukarela (VSS).
Sebenarnya, langkah awal ini adalah reaksi dan tindakan yang seharusnya mengambil contoh negara Perancis dan Australia yang dilihat tegas dalam memastikan denyut media tradisional masih dapat dipertahankan daripada rempuhan gergasi teknologi media.
Sebab itu, Fadzmi dijangka mengadakan pertemuan dengan syarikat gergasi seperti Google, Meta dan TikTok kerana situasi tersebut sebahagian besar disumbangkan oleh perbelanjaan pengiklanan yang dibawa keluar negara oleh mereka yang memberikan impak besar kepada organisasi media dan tidak boleh diambil mudah.
Semoga industri media di negara ini mendapat pembelaan sewajarnya!
- Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).