Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Usaha menggugat kestabilan politik Sarawak
  • KOLUMNIS

Usaha menggugat kestabilan politik Sarawak

Utusan Sarawak 2 days ago

KEKUATAN yang ada pada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekarang, menyebabkan rasa cemburu sesetengah pihak hingga ada percubaan untuk melaga-lagakan kepemimpinan terutama dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Apakah benar wujud konflik dalaman atau ia cuma asam garam permainan politik menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka diadakan tahun depan?

Felo Penyelidik, Institut Pengajian Borneo, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof. Madya Stanley Bye Kadam Kiai, berkata PBB merupakan sebuah parti politik di Malaysia yang kuat, teguh, stabil, kukuh, utuh, matang, dan mempunyai ahli-ahli yang sangat setia kepada pemimpin dan parti mereka.

Katanya, sejak pembentukannya pada 1973, PBB tidak pernah mengalami penolakan sokongan daripada pengundi.

“PBB mempunyai caranya yang tersendiri untuk meraih sokongan rakyat, menerajui pimpinan parti, dan mengurus selia parti mereka. Oleh sebab itu, kita jarang-jarang sekali mendengar sebarang masalah berkaitan dengan parti tersebut disebar kepada pengetahuan umum,” katanya kepada penulis.

“PBB mempunyai caranya yang tersendiri untuk meraih sokongan rakyat, menerajui pimpinan parti, dan mengurus selia parti mereka,” – Felo Penyelidik, Institut Pengajian Borneo, Unimas, Prof. Madya Stanley Bye Kadam Kiai.

Baru-baru ini, portal berita Free Malaysia Today (FMT) memetik sumber melaporkan wujud persaingan antara kumpulan penyokong Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan timbalannya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang boleh mencetuskan gerakan politik intensif dalam beberapa bulan akan datang, menjelang pilihan raya negeri yang dijadualkan pada 2026.

Menurut laporan itu lagi, Abang Johari mendapat sokongan kuat daripada pengundi luar bandar dan perwakilan PBB yang beliau ketuai.

Beliau turut disokong oleh perkhidmatan awam negeri kerana giat melaksanakan pembangunan infrastruktur, inisiatif ekonomi digital serta usaha mendapatkan autonomi ke atas hasil negeri yang disalurkan melalui jentera kerajaan.

Awang Tengah, yang juga Timbalan Presiden PBB, menurut laporan itu, dilihat oleh sesetengah pihak sebagai pemimpin berkarisma, dan turut mendapat sokongan akar umbi yang signifikan serta dikenali sebagai pentadbir yang cekap dalam menguruskan projek pembangunan negeri.

Bagaimanapun, Abang Johari dan Awang Tengah secara berasingan menafikan dakwaan itu.

Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran UKM, Prof Dr Novel anak Lyndon pula berkata dakwaan kononnya berlaku krisis dalaman antara kepimpinan utama GPS seperti yang dilaporkan sesetengah media hanyalah spekulasi yang tidak disokong bukti konkrit.

Malah, katanya, Abang Johari sendiri menafikan perkara itu, menunjukkan bahawa GPS masih utuh dan fokus terhadap agenda pembangunan negeri.

GANGGUAN

“Tidak mustahil dakwaan sebegitu sengaja dicetuskan pihak tertentu untuk mengganggu kestabilan politik Sarawak, khususnya menjelang pilihan raya negeri akan datang,” katanya kepada penulis.

Menurut Stanley Bye lagi, Abang Johari dan Awang Tengah adalah dua personaliti berbeza tetapi mereka tetap mempunyai hasrat  yang sama iaitu untuk menentukan kemenangan PBB dan GPS secara menyeluruh dalam pilihan raya negeri akan datang.

“PILIHAN raya negeri mungkin diadakan suku pertama 2026 sebagai langkah untuk mengejutkan pembangkang yang masih bergelut dengan isu kerjasama dan kepimpinan,” – Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran UKM, Prof Dr Novel anak Lyndon.

“Kedua-duanya mahu memastikan kemajuan rakyat dan negeri Sarawak terjamin. Oleh sebab itu, saya berasa bahawa isu perbalahan antara mereka berdua sukar diterima,” katanya.

Beliau berkata secara umum konflik antara ketua parti dan pemimpin-pemimpin senior dalam mana-mana parti politik memang sentiasa berlaku.

Persoalannya, kata beliau, adakah konflik tersebut diketahui umum atau hanya bisikan di dalam parti itu sahaja.

“Konflik antara pemimpin parti berlaku disebabkan pelbagai faktor seperti perbezaan personaliti, perbezaan pendapat dan pandangan untuk menyelesaikan masalah masyarakat, perbezaan pendekatan dalam pembentukan dan pelaksanaan dasar awan.

“Selain perbezaan prioriti dalam perkara-perkara dan isu-isu politik, ekonomi dan sosial serta perbezaan strategi dalam penggunaan dan pembelajan wang rakyat. Konflik di dalam parti juga boleh terjadi kerana perebutan kuasa antara pemimpin,” katanya.

Apa yang diharapkan ialah mengelak apa yang terjadi kepada UMNO yang satu ketika dulu merupakan parti dominan dalam pemerintahan dan kerana terlalu kuat, akhirnya berlaku pergeseran antara pemimpinnya hingga mewujudkan parti baharu.

Lihat bagaimana kedudukan UMNO sekarang, daripada parti Melayu terkuat kini kedudukan kerusi Parlimennya cuma 26, lebih tiga kerusi berbanding dimiliki GPS iaitu 23. Sebelum pilihan raya umum ke-15 lalu, UMNO memiliki 38 kerusi Parlimen dan pernah menguasai satu pertiga kerusi di Dewan Rakyat.

Menurut Dr Novel persepsi politik seperti dilaporkan FMT dilihat sebagai satu percubaan terancang untuk menggugat kestabilan politik Sarawak yang selama ini kekal utuh di bawah pentadbiran GPS.

Hakikatnya, kata beliau, tiada sebarang kenyataan rasmi atau petunjuk sahih yang menunjukkan wujudnya pertikaian sebenar antara kedua-dua tokoh penting itu.

IMBASAN… Laporan muka depan pada PRN 2023.

“Sebaliknya, hubungan mereka dilihat akrab dan saling melengkapi, khususnya dalam usaha menjayakan agenda pembangunan negeri dan memperkukuh kuasa autonomi Sarawak dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

DENGKI

“Persepsi seumpama ini dipercayai dimainkan oleh pihak tertentu yang tidak senang melihat kejayaan kerajaan Sarawak pimpinan Premier Abang Johari, khususnya dalam aspek transformasi ekonomi, kestabilan politik dan kemampuan GPS berdiri sebagai satu gabungan yang bebas dan berwibawa.

“Malah, kestabilan politik Sarawak sering dijadikan contoh model pentadbiran matang dan progresif, berbeza dengan kemelut yang melanda pentas politik di peringkat Persekutuan.

“Oleh itu, naratif yang cuba menimbulkan keraguan terhadap perpaduan dalam kalangan pimpinan tertinggi kerajaan negeri perlu dilihat sebagai taktik luar yang berniat mengganggu keyakinan rakyat terhadap kepimpinan sedia ada,” katanya.

Apakah ini disebabkan bahang pilihan raya negeri mula dirasai? Apakah kekuatan GPS bakal tergugat?

Stanley Bye berpendapat Abang Johari akan menggunakan mandat dengan sepenuhnya dan merasakan pilihan raya negeri ke-13 akan diadakan menjelang penghujung 2026.

Katanya, kekuatan GPS di Sarawak sekarang sukar diganggu-gugat oleh mana-mana parti lain atau oleh mana-mana gabungan parti lain.

“Misalnya, di luar bandar, kemenangan GPS memang tidak diragui. Berdasarkan keputusan pilihan raya yang lepas, pembangkang hanya berpeluang untuk menang di kawasan bandar sahaja.

“Saya berpandangan bahawa situasi dan gambaran yang sama akan berlaku pada pilhan raya negeri akan datang,” katanya.

Dr Novel pula meramalkan pilihan raya negeri mungkin diadakan suku pertama 2026 sebagai langkah untuk mengejutkan pembangkang yang masih bergelut dengan isu kerjasama dan kepimpinan.

Namun katanya, ia juga bergantung kepada keadaan politik nasional andai berlaku perubahan Kerajaan Persekutuan.

Selain itu katanya, faktor cuaca kerana PRN biasanya mengelak semasa musim tengkujuh pada Oktober-Disember.

Beliau berkata, pilihan raya awal juga boleh menjadi medan untuk GPS memperbaharui mandat dengan lebih yakin dalam suasana kestabilan dan sokongan rakyat yang memberangsangkan.

KEKUATAN GPS

“Pada pilihan raya negeri ke-12, 2021, saya meneka GPS akan memenangi lebih daripada 72 kerusi yang disandangnya dalam pilihan raya negeri ke-11.

“Pada pilihan raya negeri akan datang, saya berpendapat GPS masih dapat mengekalkan jumlah kerusi yang diperoleh pada pilihan raya ke-12, iaitu 76 daripada 82.

“Jika jumlah kerusi DUN yang baru akan dikuatkuasakan, saya yakin GPS dapat memperoleh sekurang-kurangnya 90 daripada 99 kerusi yang dipertandingkan,” katanya.

Menurut Stanley Bye pula GPS bersifat gabungan, perikatan, percantuman, kesatuan dan mempunyai identiti politik yang jelas dan nyata.

“Faktor-faktor ini yang menentukan kekuatan GPS dalam politik negeri Sarawak. Kelemahan ketara bagi semua gabungan seperti GPS ialah komponen-komponen gabungan tersebut mungkin mempunyai objektif, pendekatan politik, strategi perjuangan, dan latar belakang ahli parti berbeza,” katanya.

Mengenai perebutan kerusi antara komponen GPS terutama membabitkan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), beliau berkata ia bergantung kepada saiz sesebuah parti politik dan jumlah ahlinya.

“Oleh hal yang demikian, parti politik yang mempunyai ahli parti yang paling banyak di kawasan itu layak untuk bertanding mewakili GPS di kawasan tersebut,” katanya.

Bagaimana pula ancaman parti pembangkang?

Menurut Dr Novel, perpecahan dalaman dan kurang kerjasama antara Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP di Sarawak selain Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) memberi peluang baik untuk GPS.

“Tiada calon berprofil tinggi yang dapat menyaingi tokoh GPS di peringkat negeri,” katanya.

Namun kata beliau, GPS kekal sebagai entiti politik paling stabil dan dominan di Sarawak, hasil kepimpinan berwibawa Abang Johari serta keupayaan gabungan itu memperjuangkan kepentingan negeri secara konsisten.

“Dengan pendekatan berpaksikan pembangunan dan autonomi negeri, GPS berjaya membawa Sarawak ke hadapan dalam aspek infrastruktur, ekonomi digital, tenaga hijau, dan pungutan hasil melalui mekanisme seperti Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum yang memberi impak besar kepada kewangan negeri.

“Keupayaan GPS mengekalkan kestabilan politik pasca PRN 2021 dan memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Persekutuan juga membuktikan kecekapan mereka mentadbir tanpa bergantung sepenuhnya kepada parti-parti nasional,” katanya.

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak
Tags: Kadir Dikoh

Continue Reading

Previous: Undi tidak percaya, politik acahan pembangkang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.