KUCHING: Usaha membanteras vandalisme perlu dilaksanakan secara menyeluruh kerana ia banyak merosakkan aset utiliti dan telekomunikasi di negeri ini.
Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata semua lapisan masyarakat harus bekerjasama bagi menangani masalah itu.
“Usaha membanteras vandalisme bukan sahaja melibatkan kementerian, jabatan dan agensi berkaitan, tetapi semua peringkat masyarakat.
“Sebenarnya, inilah salah satu cabaran dihadapi kementerian saya, disebabkan vandalisme terhadap gangguan perkhidmatan utiliti dan telekomunikasi mengakibatkan kerugian semakin meningkat
“Kelakuan vandalisme ini juga turut menimbulkan kesukaran dan menjejaskan pengguna,” katanya pada Majlis Amanat Bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi di sini petang semalam.
Mengulas lanjut, Julahi juga berkata cadangan untuk menambah Modul Pencegahan Vandalisme dalam program Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) diketengahkan sebagai langkah proaktif menangani jenayah vandalisme yang semakin meruncing.
Katanya, modul tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelatih NADI daripada pelbagai lapisan umur mengenai kesan buruk perbuatan vandalisme terhadap masyarakat dan perkhidmatan awam.
Beliau berkata langkah penguatkuasaan dan keselamatan terhadap aset utiliti terus diperkukuh untuk mengurangkan kejadian vandalisme.
“Di samping itu, tindakan penguatkuasaan dan keselamatan aset utiliti juga hendaklah ditingkatkan agar jenayah vandalisme ini dapat dibendung,” tambahnya.
Hadir sama, Timbalan Menteri Telekomunikasi dan Utiliti, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi; Timbalan Setiausaha Tetap, Syed Mohamada Fauzi Shahab; Ketua Kumpulan Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad, Datuk Sharbini Suhaili dan Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Dato Dr. Anderson Tiong Ing Heng.
Oleh NOOR IKMAL