
KOTA SAMARAHAN: Usaha membendung penularan penyakit rabies di daerah ini diteruskan menerusi Program Vaksinasi Antirabies, Perlesenan dan Pendidikan Kesihatan Penyakit Rabies Daerah Samarahan yang akan diadakan secara percuma pada 7 Mac 2026 di Taman Rekreasi Unisentral, Samarahan.
Program anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dengan kerjasama pihak berkaitan itu akan berlangsung dari 9.00 pagi hingga 4.00 petang, dengan pendaftaran ditutup 3.45 petang.
Inisiatif berkenaan bertujuan meningkatkan kadar vaksinasi anjing, memastikan pematuhan perlesenan serta memperkasa kesedaran orang ramai terhadap bahaya penyakit rabies yang boleh mengancam keselamatan komuniti.
Pemilik anjing yang ingin menyertai program tersebut diminta membawa kad pengenalan pemilik serta kad vaksinasi anjing sekiranya ada bagi memudahkan urusan pendaftaran dan rekod.
Bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pelaksanaan, hanya anjing yang sihat, berumur tiga bulan ke atas, serta tidak mengandung atau menyusu dibenarkan untuk menerima vaksin.
Antara pengisian program termasuk vaksinasi antirabies secara percuma, perlesenan anjing percuma bagi tahun 2026 dengan tempoh sah tiga tahun bermula 2026, selain sesi libat urus bersama pemilik anjing mengenai bahaya rabies dan langkah pencegahan.
Selain itu, agihan risalah pendidikan kesihatan turut diadakan bagi meningkatkan tahap pengetahuan masyarakat mengenai kepentingan vaksinasi dan tanggungjawab pemilikan haiwan peliharaan.
Orang ramai khususnya pemilik anjing di daerah Samarahan digalakkan hadir dan memanfaatkan program ini sebagai sebahagian daripada usaha bersama kerajaan dalam mengekang rabies serta menjamin kesejahteraan komuniti setempat.
Oleh Norman B