
NEW DELHI: Usaha diplomatik sedang dijalankan bagi menggalakkan dialog antara India dan Pakistan di tengah-tengah ketegangan ketenteraan antara dua negara jiran Asia Selatan itu.
Diplomat tertinggi daripada beberapa negara, termasuk Iran, Itali dan Arab Saudi membincangkan kebuntuan serantau itu bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar dan Menteri Hal Ehwal Luar India Subrahmanyam Jaishankar semalam.
Menteri Luar Iran Abbas Araghchi yang berada di New Delhi bagi mengadakan rundingan dengan pegawai kanan India, mengadakan perbualan telefon dengan Dar semalam berhubung perkembangan keselamatan terkini di Asia Selatan susulan peningkatan ketegangan antara India dan Pakistan baru-baru ini,” menurut Kementerian Luar Iran menerusi platform media sosial X.
Selain berinteraksi dengan Jaishankar, Araghchi turut mengadakan pertemuan selama 90 minit bersama Penasihat Keselamatan Negara India Ajit Kumar Doval.
“Kedua-dua pihak menekankan keperluan untuk memelihara keamanan dan kestabilan di rantau Asia Selatan serta menggariskan kepentingan melaksanakan langkah yang bersesuaian untuk meredakan ketegangan,” menurut kenyataan Iran.
Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah Kaja Kallas dan Timbalan Perdana Menteri Itali merangkap Menteri Luar Antonio Tajani turut membincangkan ketegangan di rantau itu dalam perbualan telefon dengan Dar dan Jaishankar.
Menteri Luar India berkongsi perspektif mengenai keperluan menangani keganasan secara tegas dalam pertemuannya dengan Menteri Luar Arab Saudi Adel Al Jubeir yang sedang melawat India.
Media Pakistan melaporkan bahawa menteri Arab Saudi itu akan ke Islamabad pada hari ini.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio turut membincangkan peningkatan ketegangan ketenteraan India-Pakistan dengan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dan Menteri Luar India.
“Setiausaha menekankan keperluan untuk meredakan ketegangan dengan segera. Beliau menyatakan sokongan AS terhadap dialog secara langsung antara India dan Pakistan serta menggalakkan usaha berterusan bagi memperbaiki komunikasi,” kata jurucakap Jabatan Negara AS Tammy Bruce mengenai perbualan Rubio dengan Shehbaz.
Ketegangan antara India dan Pakistan meningkat secara mendadak minggu ini selepas India melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di Pakistan dan wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan pada 7 Mei lalu.
India berkata serangan sebelum subuh yang dinamakan ‘Operasi Sindoor’ itu adalah sebagai tindak balas terhadap serangan bersenjata ke atas pelancong di Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India, yang didakwa negara itu didalangi oleh Pakistan.
Pakistan menyifatkan dakwaan India itu sebagai rekaan dan berikrar akan membalas serangan udara berkenaan pada masa dan tempat pilihan kami.
Semalam, berlaku insiden saling berbalas serangan peluru berpandu dan dron antara kedua-dua negara, menurut pegawai India dan Pakistan.
– Bernama