
SARAWAK merupakan sebuah negeri yang mempunyai saiz geografi yang besar di Malaysia.
Keluasan Sarawak ini diwarnai dengan kawasan hutan luas dan mempunyai pelbagai flora dan fauna yang unik.
Sejak dahulu lagi hutan menjadi lubuk rezeki yang penting bagi penduduk Sarawak.
Sebelum kayu balak menjadi komoditi yang berharga, penduduk Sarawak mencari jelutong, engkabang, rotan, kapur barus, sarang lebah, akar tuba dan pelbagai lagi untuk didagangkan ke luar Sarawak.
Dagangan hasil hutan ini terus menjadi eksport utama Sarawak pada era pemerintahan Brooke.
Perkembangan selanjutnya membawa kepada perkembangan sektor kayu balak sebagai satu lagi eksport hasil hutan yang utama.
Pada era penjajahan British, tumbuh pelbagai syarikat pembalakan untuk menjalankan aktiviti pembalakan di kawasan hutan Sarawak.
Aktiviti pembalakan ini menjadi sumber yang amat menguntungkan sehingga pelbagai pihak cuba untuk mendapatkan lesen pembalakan.
Hal ini membawa masalah selepas pembentukan Malaysia iaitu aktiviti pembalakan yang tidak teratur, dan kesedaran tentang alam sekitar di peringkat global.
Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-bangsa Bersatu (FAO) yang memehati perkembangan dalam aspek pembalakan mula meninjau perkembangan pembalakan di Sarawak.
Pada 1968, FAO telah berkerjasama dengan Jabatan Perhutanan Sarawak untuk mengkaji tentang kegiatan pembalakan di Sarawak.
Kajiaan lima tahun itu telah menghasilkan satu kertas kerja pada Oktober 1972.
Kertas kerja ini mencadangkan untuk kerajaan negeri Sarawak menubuh sebuah perbadanan kerajaan untuk mengurus soalan perusahaan kayu kayan Sarawak.
Lahir
Pihak kerajaan negeri pimpinan Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’akub mengambil cadangan ini sebagai satu yang positif untuk masa depan sektor perkayuan Sarawak.
Oleh itu, pada Jun 1973 ditubuhkan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka).
Pusaka ditubuhkan di bawah Ordinan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak 1973.
Dalam menyusun perbadanan ini terdapat empat objektif utama akan digerakkan oleh Pusaka.
Secara umumnya objektif pertama adalah menjalankan dasar untuk memajukan rancangan dan strategi baharu dalam mempertingkatkan lagi pembangunan dan perkembangan perusahaan balak dan pemasaran hasil-hasil balak yang bermutu tinggi.
Kedua pula adalah memajukan penggunaan sumber hutan secara ekonomik dan berfaedah.
Objektif ketiga adalah penetapan konsep dan strategi baharu untuk perusahaan balak bagi mempastikan segala faedah yang hasilkan daripada sektor pembalakan dapat dinikmati secara menyeluruh.
Terakhir Pusaka akan menjadi badan yang akan membantu kerajaan Sarawak dalam menyelaras dan melaksanakan strategi pembangunan keseluruhan industri kayu melalui penglibatan sektor swasta bagi menggalakkan industri baharu.
Industri hiliran
Salah satu lagi faktor yang membawa kepada tertubuhnya Pusaka ini adalah keperluan untuk mewujudkan industri hiliran.
Pada peringkat awalnya, kayu balak dari Sarawak banyak bergantung kepada eksport terus ke negara seperti Jepun, Taiwan, Hong Kong, Singapura dan beberapa negara lain.
Oleh itu Pusaka menerus objektif penubuhannya mengeluarkan lesen kepada pengeluar kayu balak untuk terlibat dalam industri hiliran ini.
Dengan kata lain pemilik lesen pembalakan ini dibenar mengeksport balak ke luar Sarawak tetapi haruslah juga membina kilang-kilang pemprosesan kayu balak.
Pada peringkat awal objektif Pusaka ini menghadapi cabaran kerana ketidaktentuan ekonomi dunia yang menjejaskan permintaan kayu balak.
Namun demikian keadaan ini bersifat sementara kerana perkembangan eksport Sarawak semakin sihat pada pertengahan 1970-an.
Prestasi awal
Sejak penubuhannya sehingga 1977, Pusaka telah dapat mengurus eksport kayu kayan Sarawak dengan baik.
Berlaku peningkatan dalam pengeluaran kayu balak Sarawak pada 1977 berbanding tahun sebelumnya.
Jumlah eksport kayu balak dalam tempoh sembilan bulan pertama pada 1977 adalah 1,413,813 tan iaitu peningkatan sebanyak 22 peratus berbanding 1976.
Jumlah kayu balak yang dieksport ini bernilai $189.8 juta pada 1977.
Jumlah ini lebih tinggi dalam tempoh yang sama pada 1976 iaitu $161.7 juta.
Berbeza pula dengan eksport kayu bergergaji kerana dalam tempoh sama, berlaku kemerosotan pengeksportannya.
Hal ini boleh dilihat dari segi nilai eksportnya pada sembilan bulan pertama 1977 yang hanya berjumlah $67.5 juta.
Jumlah ini dilihat merosot sebanyak 24 peratus dalam tempoh sama.
Jumlah ini tidak melemahkan usaha Pusaka meningkatkan eksport kayu balak dari Sarawak.
Ini kerana jumlah eksport kayu balak semakin meningkat pada 1978 yang berjumlah 2,330,869 tan bernilai $321,145 juta.
Eksport kayu begergaji Sarawak pula menampakkan pemulihan.
Hal ini boleh dilihat dan pada masa sama, pihak kerajaan berjaya memunggut sebanyak $78,360 juta hasil eksport kayu bergegaji berjumlah 135,058 tan.
Cabaran bagi pengeksportan kayu bergegaji ini pada ketika itu ialah negara pengeksport mempunyai lebihan simpanan kayu bergegaji.
Tambahan daripada itu juga pemintaan berkurangan kepada kayu bergegaji dari Sarawak kerana berlaku kelembapan dalam sektor pembinaan di negara-negara yang mengeksport komoditi ini.
Akur
Dalam giat melakukan pembalakan, Pusaka mematuhi arahan dikeluarkan oleh FOA tentang mengawal aktiviti pembalakan.
Sehubungan itu, Pusaka mengehadkan pembalakan hanya di kawasan seluas 150,000 ekar hingga 300,000 ekar.
Tambahan daripada itu lesen hanya akan dikeluarkan dalam tempoh 25 tahun.
Peraturan ini membolehkan pokok-pokok muda untuk tumbuh dalam kitaran selama 25 tahun selepas itu.
Untukmemperkemaskan penerokaan sektor pembalakan ini yang sejajar dengan objektif Pusaka, usaha digerakkan untuk menubuh kilang-kilang papan lapis.
Syarikat pembalakan seperti Sarawak Co. (1959) Sdn. Bhd dan Kuching Veneer Sdn Bhd telah menyahut seruan ini dengan menambah kilang-kilang papan lapis.
Wujud juga kerjasama antara Pusaka dengan Forescom Plywood Bhd., dalam menjayakan penubuhan kilang-kilang papan lapis.
Kerjasama antara kedua-dua pihak telah menubuhkan kilang berharga $18 juta di tebing Sungai Sarawak pada 1979.
Usahasama antara kedua-dua pihak ini dipuji kerana ia digerakkan oleh anak tempatan tanpa bantuan pihak asing.
Usaha kerajaan Sarawak menubuhkan Pusaka ini mempunyai impak penting dalam memajukan sektor pembalakan di Sarawak.
STIDC bukan sahaja mengurus pengeskportan kayu balak tetapi memajukan industri hiliran di Sarawak.
Sehingga ke hari ini, Pusaka terus mempunyai komitmen tinggi dalam merealisasikan pembangunan sektor pembalakan di Sarawak.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).