

KUCHING: Kempen kesedaran pendermaan organ dalam kalangan rakyat perlu diperhebatkan.
Ini kerana kesedaran masyarakat mengenai pendermaan organ masih rendah berbanding pendermaan darah.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah menjelaskan, ramai yang masih tidak memahami proses pendermaan organ dan timbul pelbagai persoalan berkaitan, termasuk sama ada organ diambil daripada individu yang masih hidup atau telah meninggal dunia, serta isu berkaitan perspektif agama.
“Kerana ramai yang tidak tahu, maka perlu ada usaha untuk menyebarluaskan maklumat mengenai pendermaan organ kepada masyarakat,” katanya dalam sidang media di Sekolah Dalam Hospital, Hospital Umum Sarawak (HUS), hari ini.
Beliau menambah, kempen pendermaan organ perlu dilakukan seperti kempen pendermaan darah sebelum ini yang berjaya meningkatkan kesedaran dan penyertaan orang ramai.
“Kita perlu menjelaskan bagaimana pendermaan organ dapat menyelamatkan nyawa, contohnya dalam kes kanak-kanak yang memerlukan pemindahan jantung akibat kegagalan organ itu berfungsi,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa peranan utama dalam kempen kesedaran itu harus dimainkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala kementeriannya bersedia menyediakan ruang dan peluang melalui program seperti Randau Pembangunan Sosial.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menyentuh kepentingan kemudahan Anjung Kasih bagi pesakit dan keluarga mereka yang mendapatkan rawatan di hospital di Sarawak.
Permintaan bagi menambah kemudahan itu di negeri ini telah dikemukakan sejak pentadbiran terdahulu, memandangkan pesakit di Sarawak datang dari pelbagai daerah jauh seperti Limbang, Miri dan Sibu.
“Untuk Sarawak, satu Anjung Kasih tidak mencukupi. Kita perlukan satu lagi di Zon Tengah dan satu di Miri kerana hospital di situ menjadi tumpuan pesakit dari kawasan luar bandar seperti Baram dan Marudi,” katanya.
Menurut beliau, hasil permohonan tersebut, Sarawak kini memiliki tiga Anjung Kasih, yang membantu mengurangkan beban pesakit dan keluarga mereka.
Terdahulu, beliau berkesempatan untuk melawat wad kanser kanak-kanak dan turut memberi sumbangan kepada mereka.
“Kita bersyukur kerana keperluan Sarawak yang berbeza dengan Semenanjung mendapat perhatian kerajaan.
“Kalau di Semenanjung, satu pusat mungkin mencukupi untuk satu negeri, tetapi di Sarawak, keadaan tidak sama kerana negeri ini sangat besar,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa masih terdapat keperluan untuk menambah lagi kemudahan seumpama itu bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat, khususnya pesakit kanser yang sering menghadapi tempoh menunggu rawatan yang panjang. – UKAS