
LEMBAGA Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), melalui agensi wilayahnya, Agensi Pembangunan Rajang Hulu (URDA) terus memacu pembangunan di kawasan wilayah tengah Sarawak.
Dalam lawatan kerjanya ke Kapit pada Jumaat lalu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghadiri Mesyuarat Penyelarasan dan Pembangunan Negeri di Kapit.
Selepas itu, Abang Johari menyempurnakan Majlis Perasmian Pejabat URDA yang dinaik taraf serta pelancaran simbolik Projek Komuniti Berimpak Tinggi (HICP).

Dalam majlis tersebut, beberapa acara simbolik turut dijalankan termasuk penyerahan replika kunci pejabat (URDA) serta pelancaran Pelan Induk Kapit (Kapit Masterplan) oleh Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datuk Ismawi Ismuni.
Pelan Induk Kapit ini bertujuan untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai pusat pertumbuhan mampan melalui penambahbaikan aksesibiliti, keterhubungan wilayah serta kualiti hidup komuniti setempat.
Penubuhan dan penambahbaikan kemudahan URDA itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuhkan pembangunan di kawasan luar bandar serta memastikan masyarakat luar bandar turut limpahan pembangunan secara menyeluruh dan mampan.

Abang Johari kemudiannya menghadiri Majlis Merarau Bersama Komuniti di Dewan Suarah Kapit.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, kehadiran Premier Sarawak ke Kapit amat bermakna kerana ia mencerminkan sokongan padu kerajaan Sarawak terhadap usaha memperkukuh pentadbiran pembangunan di kawasan pedalaman negeri ini.
Menurutnya, sejak penubuhannya, URDA telah menjadi pemangkin utama pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi di kawasan Kapit, Song, Bukit Mabong, Baleh dan Belaga.
“Dengan adanya pejabat baharu URDA ini, saya yakin pegawai-pegawai akan dapat berkhidmat dengan lebih efisien dan dekat dengan rakyat,” katanya.
Ahli Parlimen Kapit itu memberitahu, setakat ini, sebanyak 41 projek pembangunan bernilai RM1.5 bilion telah diluluskan di bawah URDA merangkumi projek jalan raya, jambatan, bekalan air, pelan induk pembangunan (Kapit Master Plan) serta pembangunan pejabat URDA itu sendiri.

“Selain pembangunan fizikal, URDA turut menumpukan kepada peningkatan taraf hidup masyarakat luar bandar melalui pelbagai inisiatif sosioekonomi di bawah program COMMUNITY@SCORE, yang telah melaksanakan 24 program dan projek bagi memperkukuhkan keusahawanan tempatan, pertanian dan industri kecil,” ujarnya.
Katanya, kejayaan ini jelas menunjukkan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan pembangunan yang seimbang, inklusif dan mampan sejajar dengan aspirasi Sarawak Maju Makmur di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Premier Sarawak, serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pembangunan di bawah URDA dan RECODA.
“Dengan semangat dan kerjasama padu, kita akan terus memperkukuh kemajuan wilayah tengah Sarawak demi kesejahteraan rakyat,” kata beliau.
Oleh Akun Giman