Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • UPSI, SEAMEO SEN jalin kerjasama strategik, perkukuh pendidikan inklusif
  • PENDIDIKAN

UPSI, SEAMEO SEN jalin kerjasama strategik, perkukuh pendidikan inklusif

Utusan Sarawak 1 day ago
DATUK Seri Fatimah Abdullah (lima dari kiri) bergambar bersama delegasi UPSI dan SEAMEO SEN ketika Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas Ke-6 (ICSE 2025) di Hotel UCSI, Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

KUCHING: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkukuh peranannya sebagai hab pendidikan inklusif negara dengan menjadi rakan strategik kepada Pusat Serantau Pertubuhan Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara dalam bidang Pendidikan Khas (SEAMEO SEN).

Kerjasama itu dizahirkan menerusi penganjuran Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas Ke-6 (ICSE 2025) yang berlangsung selama dua hari di Hotel UCSI, di sini.

Persidangan bertemakan ‘Technology for Disabilities: A Path to Inclusion’ itu menghimpunkan pakar pendidikan khas, penyelidik, penggubal dasar dan aktivis dari rantau ASEAN serta peringkat antarabangsa, bagi memperkukuh penggunaan teknologi dalam memudah cara akses pendidikan setara untuk kanak-kanak berkeperluan khas.

Majlis turut menyaksikan pemeteraian Surat Hasrat (Letter of Intent, LOI) antara UPSI dan SEAMEO SEN bagi memperluas kerjasama dalam bidang penyelidikan, latihan guru, inovasi pendidikan serta pembangunan kapasiti komuniti Orang Kurang Upaya (OKU).

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah yang hadir menyaksikan majlis berkenaan, menyokong usaha bersama itu sebagai transformasi pendidikan yang lebih inklusif dan menyeluruh.

Menurut beliau, hasil jaringan strategik yang dirintis SEAMEO SEN, UPSI turut menjalin hubungan awal dengan Suruhanjaya Tinggi British, yang membawa kepada pemeteraian persefahaman awal bersama Oxford Education (OxEd), University of Oxford.

“Kerjasama itu bakal membuka peluang dalam bidang latihan guru, penyelidikan dan pembangunan inisiatif pendidikan inklusif bertaraf antarabangsa,” ujarnya.

Dalam mendukung inovasi pendidikan inklusif, UPSI turut memperkenalkan geran pembangunan prototaip bernilai RM10,000 kepada tiga pemenang Platinum bagi setiap kategori dalam Pertandingan Inovasi Pendidikan Inklusif (iDIEC) yang berlangsung serentak dengan ICSE 2025.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kajian Inklusif Komuniti dan OKU (CIRCLE) UPSI, Dr Hasrul Hosshan berkata, inisiatif tersebut merupakan langkah konkrit UPSI dalam menyokong agenda pendidikan berasaskan empati dan teknologi.

“Dengan sokongan geran ini, pemenang bukan sahaja diberi pengiktirafan, malah berpeluang merealisasikan idea kepada produk sebenar yang boleh dimanfaatkan secara meluas oleh komuniti pendidikan khas dan OKU.

Persidangan turut memberi pengiktirafan kepada model pendidikan awal dan intervensi seperti SeDidik dan Pusat OSEIC di Sarawak, yang menunjukkan kejayaan menyantuni kanak-kanak berkeperluan khas melalui pendekatan holistik, latihan guru inklusif dan penggunaan teknologi digital saringan awal, hasil kerjasama dengan syarikat Jepun, TOY8.

“Melalui kerjasama strategik yang terbina, UPSI komited untuk terus mendepani transformasi pendidikan inklusif yang lebih mampan, responsif dan bertaraf antarabangsa,” katanya

Turut hadir Pengarah Sekretariat SEAMEO, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Kementerian Pendidikan (KPM), Zainal Abas, Pengarah SEAMEO SEN, Jamilah Kadir, Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli dan Ketua Bahagian Perkembangan Awal Kanak-kanak, Salina Bujang.

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Pendidikan asas kemajuan negara
Next: Ahli Parlimen Lawas gesa KPM tangani kekosongan pengetua dan kekurangan guru

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.