Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • UPSI hidupkan semula Konsert Gendang Pati bersama M. Nasir
  • HIBURAN

UPSI hidupkan semula Konsert Gendang Pati bersama M. Nasir

Utusan Sarawak 18 hours ago
SENIMAN legenda tanah air Datuk M. Nasir bergambar pada sidang media Konsert Gendang Pati Live in Tanjong Malim di Menara Mustapha Kamal, hari ini. Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal mementaskan Konsert Gendang Pati @ UPSI pada 17 Januari 2026 di Dewan Tuanku Canselor dengan menampilkan legenda muzik negara Datuk Dr M.Nasir.

Konsert anjuran Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) itu merupakan kesinambungan konsert asal Gendang Pati yang pernah dipentaskan M Nasir lebih dua dekad lalu, namun kali ini diberi pembaharuan bagi disesuaikan dengan masa dan konteks universiti.

M.Nasir berkata konsert itu bukan sekadar persembahan pentas, sebaliknya ruang untuk pelajar mendapat pendedahan sebenar tentang tahap persembahan bertaraf industri dan disiplin kerja profesional dalam bidang muzik.

“Tahap persembahan industri dengan peringkat pelajar memang berbeza. Jadi saya nak beri satu pendedahan yang sebenarnya mahal harganya. Mereka akan tahu bagaimana dunia profesional berfungsi tanpa perlu keluar jauh dari universiti,” katanya pada sidang media selepas pengumuman konsert itu, di sini semalam.

Beliau berkata konsert itu turut melibatkan kerjasama pelajar UPSI daripada pelbagai kumpulan termasuk Devokalis, kumpulan koir rasmi UPSI serta pasukan gendang dan tarian yang akan mengiringi persembahan utama.

Beliau berkata konsert itu akan menghimpunkan karya-karyanya yang merentasi generasi seperti Apokalips, Melawan Arus, Tanya Sama Itu Hud-Hud dan pelbagai lagi lagu yang membentuk landskap muzik tempatan selama lebih empat dekad.

“Kalau nak ada cerita, kita boleh bentuk naratif dalam persembahan itu. Selalunya saya memang masukkan elemen cerita supaya perjalanan lagu-lagu itu lebih tersusun dan penonton dapat rasakan mesejnya,” katanya.

Sementara itu, Dekan FMSP Prof Madya Dr Muhammad Fazli Taib Saearani berkata konsert tersebut bukan sekadar acara hiburan, tetapi platform pembelajaran praktikal kepada pelajar untuk memahami aspek teknikal, artistik dan pengurusan acara berskala besar.

Beliau berkata sebelum konsert berlangsung, satu bengkel khas bersama-sama M.Nasir akan diadakan sebagai platform eksklusif untuk pelajar muzik, teater dan tari menimba pengalaman industri sebenar termasuk aspek teknikal pentas.

“Selain memberi pengalaman langsung kepada pelajar, hasil jualan tiket akan disalurkan kepada dana wakaf pendidikan dan biasiswa pelajar muzik,” katanya dan menjelaskan setakat ini 30 peratus tiket telah terjual.

Tempahan tempat duduk boleh dibuat melalui pautan http://t2u.asia/e/46312 dengan harga tiket dari RM88 hingga RM308.- Bernama

Continue Reading

Previous: Vokal, emosi menusuk jiwa, Hafiz Suip buktikan auranya masih berbisa
Next: Nabila Razali kembali dengan #BalasBaik

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.