
BINTULU: Seramai 95 peserta dari dalam dan luar negara menyertai program Perubahan Iklim dan Inisiatif Karbon Hutan di Sarawak anjuran Institut Ekosains Borneo (IEB), Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) baru-baru ini.
Menurut kenyataan UPMKB, program yang diadakan secara hibrid itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan kerjasama dalam menangani isu perubahan iklim serta meneroka potensi karbon hutan sebagai penyumbang kepada pembangunan lestari.
Program tersebut menghimpunkan peserta daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Hutan Sabah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan banyak lagi.
Antara pengisian utama adalah sesi ceramah oleh Dr Malcom Demies dari Jabatan Hutan Sarawak yang membentangkan inisiatif berkaitan mitigasi perubahan iklim melalui pengurusan hutan dan karbon.
Dalam kenyataan itu, Pengarah IEB, Dr Syeed Saifulazry Osman Al Edrus berkata, penganjuran program tersebut penting untuk membina jaringan profesional dan meningkatkan kesedaran berkaitan pemeliharaan hutan sebagai penyumbang kepada kelestarian iklim global.
Ujarnya, kerjasama rentas sektor dan perkongsian ilmu melalui platform seumpama itu mampu menghasilkan inisiatif berimpak tinggi dalam bidang karbon hutan dan biodiversiti.
Justeru, tambah beliau, IEB komited untuk memperkukuh sinergi antara agensi, industri dan akademia demi memastikan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masa depan.
Turut hadir secara fizikal ialah Ketua Laboratori Biodiversiti Borneo, Dr Keeren Sundara Rajoo.
Oleh Carolyne Utih