
SHAH ALAM: Kampus Universiti Putra Malaysia (UPM) terletak di Bintulu, Sarawak secara rasmi dijenamakan sebagai Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).
Penjenamaan semula UPMS telah diisytiharkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, yang juga Canselor UPM disertai Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dalam majlis penuh isitiadat di Istana Alam Shah, Klang hari ini.
Dalam titah baginda, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyatakan bahawa Kampus UPM Bintulu bukan sahaja menjadi pusat kecemerlangan dalam bidang pertanian, perhutanan dan keterjaminan makanan, malah berperanan sebagai pemangkin pembangunan negara khususnya di Sarawak, serta bakal muncul sebagai institusi pendidikan yang berdaya saing di rantau Borneo dan peringkat antarabangsa.

“Beta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas sokongan dan kepercayaan kepada UPM Kampus Bintulu selama ini, dalam usaha mencapai visi Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030.
“Beta dengan sukacitanya mengisytiharkan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak dijenamakan semula sebagai Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS),” titah baginda.
Tambah baginda lagi, usaha dan komitmen UPM diharap dapat diteruskan dalam membangunkan bakat serta kepakaran yang mampu menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi negara terutamanya di Sarawak, melalui pelaksanaan Blueprint Keterjaminan Makanan UPM yang telah dirangka dan dibangunkan.
Turut hadir Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dan tetamu kenamaan yang lain.
-UKAS