
SIBURAN: Program Dwi Bahasa Sarawak (UP-DLP) akan terus dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan pembelajaran pelajar, walaupun peperiksaan awam seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) berkemungkinan akan diperkenalkan semula.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata sebarang keputusan mengenai peperiksaan awam akan dinilai mengikut keperluan semasa tanpa menjejaskan hala tuju UP-DLP yang dirancang khusus bagi menyokong bidang sains dan kejuruteraan.
“Kita akan lihat perkara ini apabila sampai ke peringkat tersebut, tetapi yang penting UP-DLP ini dilaksanakan dalam bahasa Inggeris dan telah dirancang selari dengan kursus teknikal dan saintifik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Hari Pertama Sekolah 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abdul Razak, di sini hari ini.
Menurutnya, pelaksanaan UP-DLP telah bermula dengan murid Tahun Enam dan akan diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Tiga dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Roland berkata ibubapa dan pelajar tidak perlu bimbang kerana kerajaan Sarawak akan terus menyediakan biasiswa termasuk kepada pelajar bukan aliran sains, namun penawaran dibuat secara terpilih bagi memastikan kebolehpasaran graduan selepas tamat pengajian.
“Kita tidak mahu pelajar mengambil kursus tanpa prospek pekerjaan dan akhirnya menganggur. Oleh itu, pelajar perlu berfikir dengan teliti tentang bidang yang ingin diceburi,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelajar yang melanjutkan pengajian di universiti awam lain masih boleh memohon biasiswa kerajaan Sarawak seperti biasa, selain peluang tajaan daripada pelbagai agensi dan syarikat berkaitan industri.
Oleh Adele Rissa