
PETALING JAYA: Susulan kejayaan edisi pertama pada tahun lalu, Unveiling Uniqueness, konsert yang mengetengahkan bakat golongan kurang upaya bakal kembali dengan edisi kedua yang dijadualkan pada 15 November depan, menampilkan lebih ramai artis istimewa ini.
Pengerusi Penganjur Edwin Nathaniel berkata konsert kali ini akan disertai oleh 33 penghibur kurang upaya meliputi penyanyi, pemain muzik dan penari yang terdiri daripada individu dengan autisme, sindrom Down, palsi serebrum serta mereka yang kurang upaya pendengaran dan penglihatan.
“Lebih menarik, mereka akan digandingkan dengan penghibur terkenal tanah air Datuk Francissca Peters dan Frankie Tan,” katanya pada sidang media di sini.


PELANCARAN Unveiling Uniqueness 2, sebuah konsert yang menampilkan 33 penghibur kurang upaya serta penghibur terkenal Malaysia, Datuk Francissca Peters dan Frankie Tan, dijangka memukau penonton pada 15 November ini. Dianjurkan oleh Musicians for Musicians (MFM), acara ini akan diadakan di British International School of Kuala Lumpur, menampilkan penghibur berumur antara 12 hingga awal 30-an. Pengerusi penganjur Edwin Nathaniel berkata barisan penghibur terdiri daripada penyanyi, pemain alat muzik dan penari yang mempunyai autisme, sindrom Down, cerebral palsy, serta masalah penglihatan dan pendengaran. Foto BERNAMA
Menurutnya, sebanyak 15 buah lagu akan dipersembahkan pada konsert selama dua jam itu yang turut mengetengahkan persembahan alat muzik, antaranya ketukan dram oleh pemuzik kurang upaya pendengaran.
Konsert Unveiling Uniqueness 2 anjuran Persatuan Pemuzik Malaysia (MFM) itu akan diadakan di British International School of Kuala Lumpur di sini dengan tiket berharga RM80 sudah mula dijual menerusi dalam talian di laman web penganjur mfmmalaysia.org/events.
Hasil jualan tiket akan disalurkan kepada inisitiaf MFM dalam mewujudkan lebih banyak platform dan peluang kepada pemuzik kurang upaya di seluruh negara.- Bernama