
KUALA LUMPUR: Sarawak Oil Palms Bhd (Sarawak Oil Palms) mencatatkan untung bersih lebih tinggi sebanyak RM113.76 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2025, berbanding RM79.46 juta pada suku pertama 2024.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata perolehan turut meningkat kepada RM1.44 bilion daripada RM1.33 bilion sebelumnya.
Keuntungan kumpulan sebelum cukai melonjak kepada RM163.4 juta pada suku pertama 2025 daripada RM112.4 juta pada suku pertama 2024, terutamanya disumbangkan oleh peningkatan hasil pengeluaran tandan buah segar (FFB) dan harga jualan direalisasikan yang lebih tinggi.
Mengenai prospeknya, kumpulan itu berkata prestasinya akan terus didorong oleh pengeluaran FFB kitaran, pergerakan harga minyak makan di seluruh dunia dan kesan rantaian bekalan ke atas baja, bahan kimia dan harga bahan api, yang akan menjejaskan kos pengeluaran.
“Kumpulan ini sedang mengambil langkah berkesan untuk meningkatkan pengeluarannya menerusi pengurusan yang lebih cekap, termasuk kawalan kos dan program penanaman semula.
“Bagaimanapun, industri akan terus berdepan dengan cabaran memandangkan keadaan ekonomi global dan harga komoditi yang tidak menentu,” katanya.
Sarawak Oil Palms turut mengumumkan dividen akhir empat sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dengan tarikh pembayaran pada 18 Julai 2025. – Bernama