Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Untung bersih suku pertama CelcomDigi naik kepada RM383.77 juta
  • BISNES

Untung bersih suku pertama CelcomDigi naik kepada RM383.77 juta

Utusan Sarawak 8 hours ago
KEUNTUNGAN bersih CelcomDigi Bhd meningkat kepada RM383.77 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (S1 2025) daripada RM376.45 juta pada S1 2024.

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih CelcomDigi Bhd meningkat kepada RM383.77 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (S1 2025) daripada RM376.45 juta pada S1 2024.

Kenaikan itu disumbangkan oleh pengurusan kos yang berhati-hati, perbelanjaan operasi yang lebih rendah dan pengurangan dalam susut nilai serta pelunasan, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Hasil turut meningkat sebanyak 1.2 peratus kepada RM3.20 bilion berbanding RM3.17 bilion sebelum ini, dipacu oleh hasil yang lebih tinggi daripada jualan peranti berpakej.

Ia berkata hasil pascabayar dan rumah serta fiber terus menunjukkan pertumbuhan, disokong oleh pertumbuhan pelanggan dengan jumlah langganan rumah dan fiber mencapai 227,000, meningkat 56 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Bagaimanapun, pertumbuhan keseluruhan telah disederhanakan oleh peralihan strategik daripada pemerolehan modul identiti/identifikasi prabayar satu kali dan masa pengiktirafan hasil bagi perkhidmatan berkaitan dengan penyelesaian,” katanya.

Sehubungan itu, syarikat berkenaan mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 3.7 sen sesaham, selaras dengan komitmennya untuk memberikan dividen yang mampan kepada para pemegang saham.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Idham Nawawi berkata prestasi kumpulan dalam menyampaikan pertumbuhan hasil, pendapatan sebelum faedah dan cukai (Ebit) dan keuntungan selepas cukai mencerminkan kekuatan berterusan dalam perniagaan teras dan pelaksanaan yang berdisiplin terhadap keutamaan strategiknya.

“Kami sedang membuat kemajuan yang baik dalam mewujudkan laluan untuk pertumbuhan menguntungkan yang berterusan menerusi empat bidang tumpuan strategik — mengukuhkan kepimpinan pasaran, meningkatkan pengalaman pelanggan, memacu kecemerlangan operasi dan melabur untuk masa depan.

“Keutamaan kami terhadap kecemerlangan pelanggan dan operasi terus menyokong prestasi kami, disokong oleh pelaburan berterusan dalam meningkatkan infrastruktur rangkaian, keupayaan platform teknologi dan kekuatan barisan bakat kami, di samping pengurusan kos yang berdisiplin,” katanya.

Beliau berkata dengan segala usaha ini, CelcomDigi berada pada kedudukan yang baik untuk menyampaikan nilai jangka panjang kepada pelanggan dan pemegang kepentingannya dan bersaing secara berkesan dalam pasaran yang dinamik dan kompetitif.

Mengenai prospek, CelcomDigi berkata ia membina momentum yang kukuh dari tahun kedua penyepaduan penggabungannya, mengekalkan prestasi kewangan dan operasi yang stabil ketika memasuki 2025.

“Pencapaian penting setakat ini termasuk melengkapkan 78 peratus penyepaduan dan pemodenan rangkaian, bersama dengan kejayaan mengharmonikan fasa pertama sistem pengebilan teras dan pengurusan perhubungan pelanggan Celcom dan Digi, yang merupakan pemboleh penting untuk pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan.

“Syarikat juga sedang memajukan program transformasi runcitnya, memodenkan 52 kedai runcit lebih awal daripada sasaran, yang telah memacu peningkatan produktiviti jualan di kedai konsep baharu ini,” tambahnya.

Sementara itu, tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, kumpulan itu mengekalkan panduannya tahun ini pada pertumbuhan satu digit yang rendah bagi hasil perkhidmatannya dan Ebit CelcomDigi dijangka mencatatkan pertumbuhan satu digit rendah hingga sederhana, manakala nisbah perbelanjaan modal (capex) kepada jumlah hasil dijangka berlegar antara 14 peratus dan 16 peratus, katanya.– Bernama

Continue Reading

Previous: EXIM Bank sokong pengembangan Mac World ke pasaran GCC
Next: Unit DNeX, Shanghai E&P meterai HOA sedia penyelesaian fasilitasi dagangan rentas sempadan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.